Ee Wei dan Tang Joe didakwa menjadi sasara netizen dengan komen-komen negatif susulan prestasi tidak konsisten pasangan beregu itu.

KULAI – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memaklumkan sehingga kini belum diberitahu berkaitan isu buli siber yang melibatkan pemain badminton beregu campuran negara, Toh Ee Wei.

Jelas Ahli Parlimen Kulai itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih belum memaklumkan perkara tersebut secara rasmi kepada pihaknya sehingga kini.

“Sejauh ini saya tidak menerima sebarang aduan dan juga belum mendapat pengesahan daripada MCMC sama ada mereka telah menerima aduan tersebut atau sebaliknya.

“Bagaimanapun, sekiranya aduan diterima, sudah tentu MCMC akan memberikan bantuan yang sewajarnya,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama di sini hari ini.

Sebelum ini pemain beregu campuran negara, Ee Wei terkilan dengan kritikan netizen yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibu bapanya susulan prestasi tidak konsisten yang dipamerkan bersama-sama pasangan beregunya, Chen Tang Jie sejak kebelakangan ini.

Isu buli siber terhadap Ee Wei turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat sukan, sekali gus menimbulkan desakan agar tindakan tegas diambil bagi melindungi kebajikan mental atlet negara.

Bagaimanapun, Ee Wei dan Tang Joe yang juga pasangan ranking ke-4 dunia itu dilihat seakan menjawab kritikan berkenaan apabila bangkit menewaskan beregu pasangan ranking ke-10 dunia, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 15-21, 21-17, 21-11 pada aksi final Indonesia Masters, semalam.

Sementara itu, Nie Ching meminta semua pengguna internet agar sentiasa rasional dan berhemah, khususnya dalam menyampaikan pandangan atau kritikan.

Malah katanya, masalah sesetengah netizen ialah dalam perbincangan nyata, mereka tidak akan menggunakan perkataan atau cara tersebut, tetapi di internet mereka merasakan ruang itu bebas tanpa batasan hingga mereka ‘bebas’ untuk berkata apa sahaja.

Beliau menasihatkan orang ramai agar menjadi netizen yang baik dengan tidak meluahkan perasaan atau kelakuan negatif dalam perbincangan secara bersemuka atau dalam media sosial.

“Oleh itu, seluruh rakyat Malaysia perlu lah memberikan sokongan padu kepada pemain dan atlet negara, termasuk ketika mereka berdepan tekanan atau kritikal dan menyebabkan prestasi atau pencapaian mereka dalam sesuatu kejohanan mungkin tidak mencapai jangkaan kita, namun kita perlu ingat mereka tetap berjuang membawa nama negara.

“Kita melihat semalam (Ahad), mereka membawa pulang kemenangan (Indonesia Masters) untuk Malaysia. Jadi perkara paling penting ialah kita terus memberikan sokongan yang kuat dan positif kepada atlet-atlet negara kita,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast