JOHOR BAHRU – Operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggempur warga asing di satu tapak pembinaan di Seri Alam di sini semalam bertukar kecoh.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, keadaan tersebut berlaku apabila sebahagian pekerja warga asing cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam kawasan tapak pembinaan.
“Namun, tindakan pantas anggota penguat kuasa berjaya menutup semua laluan keluar sekali gus menamatkan cubaan meloloskan diri.
“JIM Johor menahan seramai 149 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi tersebut yang bermula pukul 2 petang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mereka terdiri daripada 104 lelaki dewasa warganegara Bangladesh, empat lelaki dewasa Nepal, 21 lelaki dewasa Indonesia, 13 lelaki dewasa Pakistan, enam lelaki dewasa Myanmar, dan seorang lelaki dewasa warga India.
Mereka katanya, berusia dalam lingkungan 18 hingga 55 tahun dan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan itu katanya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Turut ditahan katanya, seorang warga tempatan berusia 50 tahun yang merupakan pegawai sumber manusia di tapak pembinaan tersebut.
Selain itu katanya, sebanyak empat keping borang 29 iaitu saman kepada saksi telah dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.
Menurut beliau, operasi tersebut adalah hasil risikan teliti dan aduan awam melibatkan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor.
Jelasnya, operasi penguatkuasaan ini dilaksanakan secara terancang bagi mengesan pelanggaran undang-undang Imigresen termasuk penggajian warga asing tanpa dokumen yang sah serta penyalahgunaan pas lawatan sosial.
“JIM Johor akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) di Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















