KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencuri perhatian orang ramai apabila membuat kemunculan di khalayak awam selepas 22 hari menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau dilihat berada di sebuah premis makanan dan minuman di Pavilion Damansara Heights dalam keadaan tenang sambil menikmati secawan kopi.
“Tidak (keluar wad), beliau masih belum dibenarkan keluar hospital.
“Ini hanyalah keluar seketika untuk minum kopi,” kata Pegawai Khas Dr. Mahathir, Sufi Yusoff.
Kemunculan itu menjadi tumpuan apabila beberapa pengunjung menyedari kehadiran negarawan berusia 100 tahun berkenaan dan mengambil kesempatan untuk mendekati beliau.
Berdasarkan pemerhatian, Dr. Mahathir kelihatan duduk di meja makan dengan ditemani beberapa individu, dipercayai ahli keluarga dan pegawai pengiring.
Beberapa kakitangan premis turut membantu memastikan pergerakan beliau berjalan lancar, termasuk membantu beliau duduk dan bangun dari kerusi.
Walaupun menggunakan kerusi roda, Dr. Mahathir kelihatan stabil dan berinteraksi secara ringkas dengan individu di sekelilingnya. – MalaysiaGazette
















