Manuel dalam sidang akhbar pra perlawanan SHUFC dengan JDT Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu mengutip tiga mata semasa berdepan kelab Myanmar, Shah United FC (SHUFC) dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim di sini esok.

Pemain JDT, Manuel Hidalgo bertekad untuk memastikan kemenangan mereka dan kejayaan mengutip tiga mata itu akan membawa skuad Harimau Selatan semakin hampir untuk menempah slot perlawanan separuh akhir ACC.

“Saya bersedia untuk diturunkan baik dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian, yang penting saya dapat menyumbang kepada kemenangan JDT.

“Saya jugak terbuka untuk beraksi di posisi berbeza baik di sayap kiri atau bahagian tengah seperti yang dimahukan ketua jurulatih.

“Setiap lawan yang kami hadapi akan bermain bermati-matian, justeru kami perlu tenang dan mencari masa yang tepat untuk merungkai barisan pertahanan lawan dan memanfaatkan peluang gol sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pra perlawanan SHUFC dengan JDT bagi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di stadium tersebut.

Sementara itu, pemain pertahanan SHUFC, Nanda Kyaw akui terdapat jurang antara kedua-dua pasukan dan mereka perlu mengharapkan keajaiban untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Katanya, banyak ruang yang perlu ditambah baik untuk pasukan khususnya di barisan pertahanan setelah pasukan dibolosi sebanyak sembilan gol dalam tiga perlawanan ACC setakat ini.

“Kita perlu melakukan sebaik mungkin untuk mendapatkan keputusan yang positif selain tidak boleh leka dalam menangkis serangan bertali arus oleh JDT sepanjang tempoh 90 minit.

“Tidak dinafikan JDT salah satu pasukan terkuat di Asia Tenggara, jadi kita perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast