Adrian dan Kaarthivi Raj didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas empat pertuduhan khianat.

JOHOR BAHRU – Dua dalang sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ahlong mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan khianat menggunakan api ke beberapa kediaman pada November dan Disember tahun lalu.

Tertuduh, T. Adrian Arvin, 26, dan S. Kaarthivi Raj, 27, membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim dan Mohd Zamir Suhaimee.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua rakan karib itu didakwa telah melakukan khianat menggunakan bahan api dengan membakar bahagian hadapan sebuah rumah hingga menyebabkan kerosakan pada harta tersebut.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Kampung Baru Ban Foo, Ulu Tiram di sini pukul 1.45 pagi 19 November lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak bekerja itu diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 23 Februari depan sebagai tarikh sebutan kes dan lantikan peguam.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, kedua-dua tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tiga lagi pendakwaan khianat menggunakan api dengan membakar lantai rumah, membakar pakaian dan ampaian baju serta membakar garaj rumah tiga kediaman berbeza.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Kemajuan 22, Taman Universiti, Skudai; Jalan Delima 1, Taman Kota Masai, Pasir Gudang serta Jalan Bestari 4 di sini pukul 1.42 pagi 8 November hingga 4.18 pagi padat 6 Disember lalu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin keseluruhan RM28,000 setiap seorang dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha’ari dan Siti Fatimah Mamu, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam sembilan kes khianat dengan api di beberapa daerah di negeri itu.

Ketika ditahan, kedua-dua suspek dipercayai sedang dalam perjalanan ke sebuah rumah di sekitar Buloh Kasap, Segamat untuk melakukan perbuatan membaling molotov ke atas kediaman mangsa.

Pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek menemukan sebotol kaca berisi minyak petrol dipercayai bom molotov serta sekeping nota ugutan.

Modus operandi kedua-dua suspek adalah menerima arahan daripada sindiket ahlong dan melaksanakan perbuatan khianat dengan api sebagai ugutan dengan upah antara SGD300 hingga SGD400.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast