Oplus_16908288

KOTA TINGGI – Seorang duda ditangkap khalwat dengan isteri orang yang datang dari negeri lain sejauh 350 kilometer, dalam rumah lelaki itu di daerah ini semalam.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataan memberitahu, operasi mencegah maksiat yang dilakukan pada pukul 12 tengah malam itu dilakukan selepas mendapat aduan orang awam.

“Tiba di lokasi, penguat kuasa mendapati kereta lelaki ada berhampiran rumah. Keadaan di luar rumah terang dan di dalam rumah kelihatan samar-samar.

“Penguat kuasa ketuk pintu sambil beri salam macam. Selepas 7 hingga 8 minit pintu diketuk, penguat kuasa nampak lampu di ruang tamu dibuka.

“Kemudian kelihatan seorang wanita membuka pintu. Dia berpakaian kain batik dan t-shirt ketat. Penguat kuasa masuk ke dalam rumah selepas memperkenalkan diri,” maklum kenyataan tersebut.

Menurut JAINJ, penguat kuasa menemui seorang lelaki di belakang wanita itu yang tidak memakai baju dan hanya memakai kain batik wanita.

Seterusnya penguat kuasa menemui seorang kanak-kanak lelaki sedang tidur atas sofa, pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan budak tersebut pula adalah anak kepada duda tersebut manakala anak yang lain dijaga bekas isterinya.

Pemeriksaan dalam bilik mendapati katil, empat bantal dan selimut berterabur dan semasa serbuan, pasangan itu dipercayai sedang tidur dalam bilik berkenaan.

Lelaki itu berumur 40-an berstatus duda bercerai dan bekerja di Kota Tinggi manakala wanita pula berusia 30-an berstatus isteri orang dan tinggal di sebuah negeri lain sekitar 350 kilometer dari Kota Tinggi.

JAINJ dimaklumkan, wanita itu didakwa sudah beberapa kali datang ke rumah tersebut beberapa minggu lalu dan dikatakan lari meninggalkan suaminya mengikut duda berkenaan.

“Apabila ditanya mengenali status wanita dengan suaminya, dia kata dia dalam proses cerai. Penguat kuasa sudah biasa dengan perkataan proses cerai ini, bila status isteri orang kena tangkap saja, jawapannya dalam proses cerai.

“Pasangan ini terlalu berani dan tidak menghormati jiran sekeliling yang sudah jadi cerita dan buah mulut masyarakat. Mereka sudah duduk macam suami isteri sedangkan jiran tahu mereka belum nikah.”

Pasangan berkenaan ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana kesalahan berkhalwat.- MalaysiaGazette

Caption gambar: Seorang duda dan isteri orang ditangkap khalwat di sebuah rumah di Kota Tinggi, semalam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast