Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyangkal kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) seperti yang terkandung di dalam surat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkenaan yang tersebar kepada media hari ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, isu itu sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh Pas termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari lalu.

Malah, jelas beliau, Pas kekal dengan pendirian jawatan Pengerusi PN hendaklah kekal dan tidak dimansuhkan serta diurus tadbir seperti mana yang diperuntukkan dalam Fasal 8.3(l) Perlembagaan PN.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata, beliau mengambil maklum kandungan surat Muhyiddin bertarikh semalam itu yang ditujukan kepada semua Presiden Parti-Parti Anggota PN dan menyambut baik komitmen semua Parti-Parti Anggota untuk memperkukuhkan lagi kesepakatan dalam PN.

Ujarnya, berhubung cadangan untuk pindaan Perlembagaan PN berkaitan penstrukturan PN khususnya mengenai Majlis Presiden, Pas mengulangi saranan bahawa Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN.

Selain itu, tambah beliau, Pas juga bersetuju bidang kuasa Majlis Presiden diteliti semula dengan mengusulkan pindaan-pindaan berkaitan dalam Perlembagaan PN yang akan disyorkan oleh sebuah jawatankuasa teknikal bersama.

“Adapun mengenai kenyataan Muhyiddin bahawa “Dengan penstrukturan semula PN, jawatan Pengerusi Perikatan Nasional dimansuhkan dan hal pelantikan Pengerusi PN tidak lagi berbangkit”, saya ingin menegaskan bahawa isu ini sama sekali tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui oleh pihak kami termasuk dalam pertemuan pada 16 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dakwaan Muhyiddin yang mana Bersatu dan Pas telah mencapai persetujuan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi PN sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula gabungan itu.

Menerusi surat yang tersebar kepada media, Muhyiddin dilaporkan berkata, hasil penstrukturan itu menyaksikan Bersatu akan menerajui Majlis Presiden PN, manakala Pas akan mengetuai Jawatankuasa Eksekutif.

Sementara itu, Abdul Hadi menambah, sebagai rujukan asas berkaitan Majlis Eksekutif PN, Pas menggariskan cadangan yang mana Majlis Tertinggi PN (MTPN) harus menjadi Majlis Eksekutir (ME) yang bertanggungjawab melaksanakan segala perancangan parti.

Jelasnya, ia termasuk dari sudut perorganisasian, pentadbiran dan strategi bagi memperkukuhkan parti gabungan itu terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) mahu pun pilihan raya umum (PRU).

Selain itu, menurutnya, kuasa dan fungsi ME hendaklah digariskan dengan terperinci yang turut diselaraskan dengan idealisma dan perancangan Parti-Parti Anggota.

Ujar beliau, dalam menjalankan fungsinya, ME mempunyai akauntabiliti kepada Majlis Presiden yang berperanan memantau dan mengawal selia ME dari segi dasar dan hala tuju yang ditetapkan oleh parti.

“Berdasarkan kepada perkara di atas, maka adalah menjadi pandangan dan pendirian Pas bahawa Majlis Presiden hendaklah bertindak sebagai ‘Badan Penasihat’ dan ‘Pengawal Selia’ dalam memelihara dasar-dasar dan hala tuju PN.

“(Selain itu) Majlis Tertinggi PN hendaklah juga menjadi Majlis Eksekutif PN yang bertindak sebagai ‘Badan Pelaksana’ dalam segala urusan pentadbiran dan strategi parti, selaras dengan Fasal 8 Perlembagaan PN,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast