KOTA TINGGI – Bomba dengan kerjasama beberapa agensi sudah berjaya memadamkan 52 peratus keluasan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang di sini sehingga tengah hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, menerusi operasi bersepadu itu kawasan kebakaran yang sudah dipadamkan melebihi 51 hektar daripada keseluruhan kawasan yang terbakar iaitu lebih 99 hektar.
“Kita yakin operasi pemadaman kebakaran pada hari ini akan terus menunjukkan perkembangan baik susulan penggunaan khidmat helikopter yang menggunakan teknik pengeboman air (water bombing).
“Kita sudah membuat ‘fire break’ dengan mengepung kawasan kebakaran dan kemudian membanjirkan kawasan berkenaan. Kita bahagikan kepada sembilan sektor yang mana beberapa sektor sudah dipadamkan dan beberapa lagi hampir padam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Bomba (PKB) Operasi Pemadaman Kebakaran Tanah Gambut di sini hari ini.
Katanya, selepas ini, penggunaan helikopter dijangka memudahkan kerja-kerja pemadaman kebakaran kerana akan masuk ke kawasan sukar dan jauh ke dalam belukar.
Jelasnya, percubaan menggunakan jengkaut semalam tidak berjaya kerana tenggelam dalam kawasan tanah lembab.
“Jadi, kita harap helikopter akan dapat pergi ke bahagian tengah dan kita harap perkembangan oeprasi pemadaman hari ini lebih baik,” katanya.
Mustakim berkata, operasi water bombing itu akan membabitkan kawasan kira-kira 30 peratus dan proses itu akan membantu mengurangkan asap kerana adanya wap air yang akan meresap asap.
“Kalau asap sudah berkurang, kira okay sebab asap yang mengganggu penduduk sekitar,” katanya.
Helikopter MI-17 milik Unit Udara JBPM yang berpusat di Subang Jaya, Selangor itu mampu membawa sebanyak 1,340 liter air bagi satu penerbangan yang akan menjalankan operasi pemadaman dijangka sehingga Jumaat ini.
Air berkenaan akan digugurkan dari helikopter ke kawasan kebakaran yang sudah ditandakan.- MalaysiaGazette
















