Pemandangan dari udara kawasan tanah gambut yang terbakar di sekitar Taman Bayu Damai, Pengerang Kota Tinggi, pada 28 Januari 2026. - Foto ihsan bomba Johor

KOTA TINGGI – Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Taman Bayu Damai yang berpunca daripada kebakaran tanah gambut yang berlaku di Jalan Sungai Kapal sejak Jumaat lalu, merekodkan indeks bacaan yang semakin baik banding sebelumnya.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, bacaan IPU itu dikategorikan sederhana yang menunjukkan bacaan 90 pada pukul 3 petang tadi berbanding IPU tidak sihat iaitu 108 pada pukul 9 pagi.

“Bacaan IPU menunjukkan penurunan positif daripada bacaan tidak sihat pada pagi kepada bacaan sederhana pada petang hari.

“Sehingga kini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih dibuka di dua tempat iaitu di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal menempatkan 153 penduduk dari 50 keluarga.

“Di dewan menempatkan seramai 92 penduduk dari 29 keluarga manakala di sekolah terdapat 61 penduduk dari 21 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba Penyelamat (BBP) Punggai, Pegawai Bomba Kanan I Sabri Ramli berkata, sehingga petang ini 54.8 peratus daripada kawasan terbakar di Jalan Sungai Kapal itu telah berjaya dipadamkan.

“Kerja-kerja pemadaman diteruskan dan pemantauan keadaan semasa dilaksanakan. Didapati api telah berjaya dikawal daripada merebak lebih luas dengan teknik firebreak.

“Keluasan kebakaran tidak berubah, seluas 246 ekar dan kawasan yang telah dipadamkan setakat ini adalah seluas 135 ekar,” katanya lagi.

Terdahulu Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini telah memulakan operasi pemadaman menggunakan teknik pengeboman air menggunakan helikopter.

Teknik tersebut bukan sahaja membantu memadamkan kebakaran malah akan mengurangkan lagi asap yang terjadi akibat kebakaran gambut tersebut.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast