Seramai 52 atlet Pahang Sukan Sea dan Para ASEAN diraikan dengan insentif berjumlah keseluruhan RM170,500 daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah mendahului senarai penerima Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan SEA Ke-33 hari ini kerana menyumbangkan pingat emas dan gangsa bagi sukan Equestrian Polo dalam acara yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.

Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah menerima insentif RM5,500 susulan kejayaannya menyumbangkan pingat emas dan gangsa bagi sukan Equestrian Polo pada Sukan SEA ke-33

Selain itu ,seramai 51 lagi atlet Sukan Sea dan Para ASEAN diraikan dengan insentif berjumlah keseluruhan RM170,500 hari ini daripada Kerajaan Pahang yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Menurut Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, kejayaan atlet Pahang pada edisi kali ini sangat membanggakan dan menunjukkan peningkatan prestasi yang luar biasa.

“Atlet Pahang telah berjaya menyumbang tujuh pingat emas, lapan pingat perak, dan lapan pingat gangsa dalam Sukan SEA melalui pelbagai acara termasuk Ekuestrian (Polo dan Lompat Berhalangan), Olahraga, Silat, Hoki (5 Sebelah, Dewan dan Padang), Bola Jaring, E-sukan, Pelayaran, Kriket, Taekwando, Angkat Berat, Woodball, Memanah, dan Futsal.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan peningkatan prestasi yang memberangsangkan dan antara yang terbaik berbanding Sukan-Sukan SEA sebelum ini,” katanya.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan replika cek Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan SEA Ke-33 berjumlah RM10,000 kepada pemenang pingat emas Kategori Olahraga Lontar Peluru, Nani Sahirah Maryata

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Pahang di Sukan SEA Ke-33 dan Para ASEAN Ke-13 Thailand 2025 di sini hari ini.

Atlet Pahang turut meraih satu pingat emas, dua pingat perak, dan empat pingat gangsa dalam Sukan Para ASEAN Thailand baru-baru ini, melalui sukan Tenis Kerusi Roda (Individu & Berpasukan), Blind Football, Tenpin Bowling Kerusi Roda (Perseorangan Wanita), Olahraga, dan Para Lawan Pedang (Mix Team Foil & Sabre).

Berikutan prestasi membanggakan itu, Fadzli turut mengumumkan bahawa kadar insentif kemenangan atlet Pahang di Sukan SEA ditambah mengikut kategori pemenang berbanding jumlah sebelumnya.

“Sebagai tambahan juga, Kerajaan Negeri Pahang turut menyediakan insentif khas bagi atlet yang memecahkan rekod kejohanan Sukan SEA iaitu sebanyak RM2,000,” tambahnya.

Sementara itu, pemenang pingat emas Kategori Olahraga Lontar Peluru iaitu Nani Sahirah Maryata, 25 ketika ditemui, meluahkan perasaan terharu dengan kenaikan pertambahan insentif yang diterimanya hari ini.

Anak jati kelahiran Kuantan itu berjaya memecahkan rekod kebangsaan pada Sukan Sea tersebut dengan bacaan 16.36 meter berbanding 15.31 meter sebelum ini.

Nani Sahirah Maryata

Saya amat bersyukur sebagai anak Pahang kerana menerima ganjaran keseluruhan iaitu RM10,000 selepas berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

“Ganjaran ni saya ingat hendak buat pergi umrah..cuma buat masa ini saya tengok keadaan dahulu. Kalau ada yang sudi taja, itu juga satu rezeki besar buat saya,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan seterusnya, Nani Sahirah memaklumkan sedang menjalani persediaan untuk menghadapi temasya Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung di Osaka, Jepun pada September depan.

“Saya sedang fokus sepenuhnya kepada Sukan Asia dan jrulatih mensasarkan saya untuk membawa pulang pingat, insya-Allah.

“Saya kini berada di kedudukan kelima dan pastikan akan usahakan sehabis baik untuk memastikan sasaran podium itu tercapai,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast