Kanak-kanak dua tahun maut ditinggalkan dalam kereta sembilan jam, Seremban, Negeri Sembilan.

KUALA LUMPUR – Pakar keselamatan berkongsi beberapa tindakan pencegahan yang boleh dibuat dalam rutin seharian dalam membantu mencegah insiden kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan.

Pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Shahronizam Noordin berkata, antaranya adalah dengan membuka pintu belakang kereta setiap kali meletak kenderaan, walaupun tidak ada orang di bahagian tempat duduk penumpang.

Katanya, ibu bapa atau penjaga juga boleh meletakkan beg atau kotak makanan anak-anak di tempat duduk depan yang mana boleh dilihat sepanjang masa.

Tambah beliau, ibu bapa atau penjaga juga boleh meninggalkan barangan yang diperlukan pada akhir perjalanan seperti telefon, dompet atau beg tangan di tempat duduk belakang di sebelah anak-anak.

Shahronizam Noordin.

Selain itu ibu bapa atau penjaga boleh meninggalkan nota atau pelekat peringatan pada tingkap kereta atau berhampiran pemegang pintu, di mana mereka akan melihatnya apabila hendak keluar dari kereta.

“Mereka juga boleh menggunakan peranti yang mengingatkan bahawa anak-anak masih berada di dalam kereta seperti cermin tempat duduk belakang, monitor video atau telefon pintar,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Perkongsian itu susulan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia selepas dipercayai tertinggal di dalam kereta ibunya selama sembilan jam di Jalan Tunku Hassan, Seremban, Negeri Sembilan semalam.

Wanita berusia 35 tahun itu yang bekerja di sebuah bank di kawasan terbabit hanya menyedari anaknya tertinggal di dalam kereta sebaik sahaja mahu pulang ke rumah.

Sementara itu, Shahronizam berkata, kejadian ibu bapa tertinggal anak-anak di dalam kereta atau disebut Forgotten Baby Syndrome bukan asing sebaliknya dilaporkan berlaku saban tahun di negara ini.

Jelasnya, ia menimbulkan persoalan bagaimana kejadian itu boleh berlaku sedangkan ibu bapa amat menyayangi anak-anak mereka.

Hakikatnya, ujar beliau, terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada kejadian itu antaranya ialah kealpaan jangka pendek, di mana ibu bapa atau penjaga terlupa bahawa anak mereka berada di tempat duduk belakang.

Keadaan itu, tambahnya, boleh berlaku apabila seseorang berada dalam keadaan letih melampau, tertekan atau cemas dan terganggu oleh rutin harian.

“Kematian akibat Forgotten Baby Syndrome bukanlah kejadian terpencil atau bermusim sebaliknya merupakan risiko keselamatan yang berulang dan berterusan.

“Justeru, pendekatan pencegahan yang lebih sistematik termasuk pendidikan awam, perubahan tingkah laku penjaga, serta penggunaan teknologi keselamatan dalam kenderaan amat diperlukan bagi mengurangkan angka kematian ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lupa dihantar ke pengasuh, budak maut tertinggal dalam kereta 9 jam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast