KUALA LUMPUR – Pas membantah penganjuran Sambutan Hari Pekerja Pelancongan yang akan diadakan bersama program Water Musical Festival di Bukit Bintang selama tiga hari bermula 1 Mei depan, sempena pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).
Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam, Mohamed Sukri Omar berkata, penutupan jalan selama tiga hari di kawasan itu akan memberi impak besar kepada mobiliti bandar, operasi perniagaan kecil, keselamatan awam serta keselesaan orang ramai termasuk pelancong keluarga dan warga emas.
Menurutnya, konsep festival air terbuka dan hiburan jalanan berskala besar yang melibatkan percampuran bebas dan suasana pesta awam perlu dinilai secara lebih teliti dari sudut nilai, adab, sensitiviti budaya tempatan serta keharmonian sosial.
Apatah lagi, jelas beliau, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan Islam sebagai agama Persekutuan.
Selain itu penganjuran program seumpama itu di kawasan sesak juga mendedahkan risiko keselamatan, kesihatan awam dan penguatkuasaan, termasuk kesesakan melampau, kecederaan, vandalisme, pencemaran serta potensi gangguan moral.
Tegasnya, pendekatan pelancongan tidak seharusnya dilihat hanya melalui lensa hiburan, tetapi mesti berpaksikan kelestarian, kesejahteraan masyarakat dan imej negara.
“Bantahan ini bukan penolakan terhadap Visit Malaysia 2026, malah selari dengan matlamat kempen tersebut yang menonjolkan identiti budaya, warisan dan perayaan berteraskan nilai tempatan seperti Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, Gawai dan Tadau Kaamatan.
“Justeru, pemilihan acara utama mestilah mencerminkan jati diri Malaysia, bukan sekadar meniru model pesta jalanan luar negara yang tidak semestinya sesuai dengan konteks tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) merancang beberapa acara di sekitar Bukit Bintang sempena kempen Visit Malaysia 2026, termasuk sambutan Hari Pekerja Pelancongan dan Festival Muzikal Air.
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kedua-dua acara itu akan berlangsung serentak bermula 1 Mei selama tiga hari dan dijangka menarik kehadiran pengunjung tempatan serta pelancong asing.
King Sing memaklumkan, beberapa jalan di kawasan Bukit Bintang akan ditutup sementara bagi melancarkan penganjuran acara berkenaan.
Sementara itu, Mohamed Sukri yang juga Ketua Pemuda Pas Selangor menggesa MOTAC menilai semula penganjuran kedua-dua program tersebut serta mengadakan sesi libat urus bersama penduduk, peniaga dan pihak berkepentingan setempat.
Selain itu, katanya, MOTAC perlu mengutamakan acara pelancongan yang berunsur budaya, keluarga dan komuniti, selari dengan nilai masyarakat serta imej Malaysia di mata dunia.
“Hakikatnya, kekuatan utama Malaysia di mata pelancong asing bukan terletak pada pesta jalanan atau hiburan bebas, tetapi pada budaya, adab, warisan dan identiti ketimuran yang membentuk jati diri negara ini.
“Dunia datang ke Malaysia untuk merasai keunikan budaya tempatan, keramahan masyarakat, nilai kekeluargaan, kepelbagaian adat dan keharmonian beragama yang menjadi ciri istimewa negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















