Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd. Talib

TANGKAK – Seorang peniaga kedai makan berputih mata selepas kerugian RM364,500 akibat terpedaya dengan scammer yang menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai anggota polis.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, pihaknya menerima satu laporan polis semalam daripada seorang wanita tempatan berusia 58 tahun berkenaan kejadian tersebut.

“Mangsa dalam kes ini telah mengalami kerugian sebanyak RM364,500.00 apabila diperdayakan oleh suspek dengan menyerahkan maklumat perbankan milik syarikatnya dan OTP yang diterima dari pihak bank kepada pihak scammer.

“Semuanya bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada suspek pada 23 Januari lalu dan dia dikatakan terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek dan akaun bank mangsa kemudian diambil alih pihak ketiga dan berlaku pemindahan wang tanpa disedari oleh mangsa.

Wang mangsa dipercayai adalah hasil simpanan wang perniagaannya, katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.

Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan dakwaan kesalahan oleh pihak berkuasa secara dalam talian dan perlu membuat pengesahan terlebih dahulu kepada pihak berwajib.

“Orang ramai diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan atau ‘scam’,” tambahnya.

Beliau juga menasihatkan orang awam sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan scam melalui laman sosial jabatan siasatan jenayah komersil seperti Facebook, Instagram dan TikTok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast