JOHOR BAHRU – Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda RM1,000 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat terhadap seorang operator pengeluaran warga Bangladesh selepas mengaku bersalah membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam.
Orang Kena Saman (OKS), Sultan Md, 28, dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Bengali di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Leaki warga asing itu juga diperintahkan untuk melakukan khidmat masyarakat selama enam jam dengan tempoh dua jam sehari dan perlu dilaksanakan tidak lebih daripada enam bulan.
Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan bagi maksud membuang sisa pepejal berkenaan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Ibrahim Sultan, Stulang Laut di sini pukul 1.27 pagi, pada 1 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 dan sebagai tambahan suatu perintah khidmat masyarakat maksimum 12 jam, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Rubiah Maulud manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- MalaysiaGazette
















