Tiga kebakaran besar melibatkan kira-kira 391 ekar tanah berlaku di kawasan Pengerang, Kota Tinggi minggu ini.

KOTA TINGGI – Tiga kebakaran besar melibatkan kira-kira 391 ekar tanah berlaku di kawasan Pengerang dalam minggu ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Muhammad Al Mustakim Abdul Hady berkata, kebakaran yang pailing teruk dan kritikal berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai.

Jelasnya, kebakaran tersebut melibatkan tanah gambut dan operasi memadamkannya masih diteruskan sehingga kini yang masuk hari keenam.

“Sementara dua lagi kawasan melibatkan Kampung Lepau yang masih proses pemadaman dan juga tapak pengumpulan sampah Jalan Tuatau, Bandar Penawar berjaya dipadamkan sepenuhnya semalam.

“Ada beberapa lagi kawasan yang terbakar seperti di Batu Pahat dan Tanjung Sedeli (Kota Tinggi) semalam tetapi sudah berjaya dipadamkan,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Bomba di Taman Bayu Damai di sini hari ini.

Kebakaran di Taman Bayu Damai bermula Jumaat lalu dan sehingga pukul 12 tengah hari ini seramai 153 penduduk melibatkan 50 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS).

Mereka ditempatkan di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal sejak Sabtu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast