KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini bagi menghadapi pertuduhan rasuah.
Beliau tiba kira-kira pukul 8.35 pagi bersama-sama peguamnya Datuk Geethan Ram Vincent serta dikawal ketat beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dibawa ke Mahkamah Sesyen Jenayah 14 untuk prosiding pendakwaan.
SPRM dalam kenyataan semalam memberitahu, seorang pegawai Imigresen turut didakwa di ibu negara hari ini bagi kesalahan berkaitan Op Pump.
Kenyataan itu menyebut, agensi berkenaan juga mendapat izin untuk mendakwa seorang ahli perniagaan berkaitan Op Nature di Mahkamah Sesyen 1, Shah Alam, dekat sini.
Turut didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang ialah seorang bekas pensyarah manakala seorang pelabur warganegara China turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban berkaitan Op Nature.
Sementara itu, SPRM turut mendapat izin untuk mendakwa seorang pegawai kanan tentera di ibu negara, esok.
Op Nature sebelum ini dijalankan secara serentak oleh SPRM Selangor dan SPRM Negeri Sembilan di dua lokasi, iaitu Klang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pada 20 Januari lalu. – MalaysiaGazette
















