KUALA LUMPUR – Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) menarik balik kenyataannya yang mengaitkan pembahas dari Sabah dan Sarawak dengan dakwaan mahu keluar daripada Malaysia selepas ditegur beberapa ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.
Perkara itu timbul ketika Roslan mengemukakan soalan tambahan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan mendakwa terdapat pembahas dari Sabah dan Sarawak yang kecewa sehingga menyuarakan hasrat untuk keluar daripada Malaysia.
“Saya ingin bertanyalah, ada tak siapa tanya? Adakah MA63 ini sebab saya dengar ada pembahas daripada Sabah atau Sarawak yang kecewa dengan MA63 dan ada yang menyatakan ingin keluar daripada Malaysia kerana kegagalan MA63 ini,” katanya.
Bagaimanapun, dakwaan itu segera ditegur Jimmy Puah Wee Tse (PH–Tebrau) yang menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai mengelirukan dan berbahaya.
“Saya rasa kenyataan itu agak keliru… saya harap Kulim Bandar Baharu boleh tarik balik kenyataan itu,” kata Jimmy Puah.
Roslan kemudian mempertahankan kenyataannya dengan mendakwa beliau mendengar sendiri perkara tersebut namun mengakui kesediaan untuk menarik balik sekiranya tidak dapat mengemukakan bukti jelas.
“Saya tidak ingat bila tapi dengar sendiri dan saya ada di dalam Dewan, kalau saya tak dapat bagi kenyataan yang jelas hari ini, sampai ditarik balik untuk jawapan menteri,” katanya.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat ketika itu, Syahredzan Johan turut campur tangan meminta Roslan memperbetulkan atau mengubah kenyataan bagi mengelakkan salah faham.
“(Ahli Parlimen) Kulim Bandar Baharu mungkin nak tukar sikit apa yang disebut, boleh tukar sikit (soalan)?” katanya.
Jimmy Puah sekali lagi menegaskan, kenyataan mengenai hasrat keluar Malaysia adalah serius dan boleh dianggap menghasut.
“Tak pernah dengar pun, kata nak keluar itu, itu sangat bahaya, menghasut juga itu,” katanya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi urusan Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud menegaskan, dakwaan berkenaan adalah keterlaluan dan tidak mencerminkan realiti perbahasan di Dewan Rakyat.
“Saya fikir tidaklah betul seperti yang telah dinyatakan oleh sahabat kita bahawa mereka ingin keluar Malaysia. Saya fikir itu agak keterlaluan,” katanya.
Menurut Mustapha, Kerajaan Madani telah memantapkan struktur perbincangan berkaitan MA63 dan berjaya menyelesaikan sembilan perkara utama dalam tempoh tiga tahun berbanding kerajaan terdahulu.
“Kita mendengar keluhan tentang hak Sabah dan Sarawak ini tetapi kita juga ada tugas dan tanggungjawab untuk membina negara ini bersama dan kita akan pastikan isu-isu berkaitan MA63 ini diambil dengan serius dan diselesaikan secara berperingkat berdasarkan perundangan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















