JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama anak dan cucunya membuat kejutan apabila melawat Zoo Johor di sini sempena cuti umum perayaan Thaipusam hari ini.
Anwar tiba pada pukul 3.10 petang dan meluangkan masa lebih satu jam di kawasan zoo berkenaan yang merupakan zoo tertua di negara ini.
“Ini lawatan tidak rasmi saya,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita.
Semasa lawatan berkenaan, beliau turut berkesempatan beramah mesra dengan pengunjung termasuk mereka meminta untuk bergambar bersama-samanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, selain mengunjunginya Zoo Johor, Anwar menaiki perkhidmatan Tren Elektrik 3 (ETS3) dari stesen Kuala Lumpur ke JB Sentral.
“Saya amat berbesar hati apabila dimaklumkan perdana menteri mahu mengadakan lawatan dan mengunjungi Zoo Johor. Saya ambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada beliau dan keluarganya.
“Alhamdulillah, tadi beliau cakap (keadaan zoo) baik dan cantik. Mungkin dulu dia pernah datang sedikit kotor sebelum ditambah baik,” ujarnya.
Pada masa sama, Mohd Jafni turut memberitahu, Zoo Johor telah merekodkan kehadiran seramai lebih 1.2 juta pengunjung sepanjang tempoh 14 bulan setelah dibuka semula kepada umum.
“Selain itu, Zoo Johor juga telah mencatatkan hasil jualan tiket sebanyak RM5.5 juta sepanjang tahun 2025. Ini merupakan satu kisah kejayaan apabila zoo yang dahulunya beroperasi secara defisit setiap tahun, kini membawa keuntungan,” katanya.- MalaysiaGazette
















