Syahredzan Johan.

KUALA LUMPUR – DAP tidak pernah ghairah mencari ahli semata-mata untuk menambah angka keahlian, meskipun penyertaan mana-mana rakyat ke dalam parti itu dialu-alukan.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, usaha DAP menarik lebih ramai ahli pelbagai bangsa termasuk daripada masyarakat Melayu tidak akan dilaksanakan dengan terburu-buru atau menggadaikan prinsip parti.

Menurutnya, ia juga tidak akan dilaksanakan dengan membawa masuk ahli parti lain yang kecewa dengan pergolakan dalam parti mereka dan kini mencari dahan baharu untuk berpaut.

Jelas beliau, kemasukan ahli Melayu seperti ahli-ahli kaum lain telah berlaku secara organik dan cermat yang mana DAP tidak perlu ‘mengimport’ individu daripada parti lain semata-mata untuk menambah bilangan ahli.

“Proses berterusan yang sudah bertahun lamanya ini telah membuahkan hasil dan kini DAP mempunyai pemimpin Melayu di semua lapisan, termasuk yang menjawat jawatan sebagai wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung mahupun pemimpin akar umbi.

“Yang paling penting adalah ahli DAP tidak kira bangsa mahupun agama, harus menghayati perjuangan parti dan berjuang demi negara Malaysia untuk rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan dakwaan Pengerusi DAP cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin berkenaan beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Selangor bertemu dengannya bagi menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.

Menurut Muhammad Najmi, sebagai ketua cawangan DAP yang mempunyai keahlian Melayu paling ramai, penyertaan itu dialu-alukan sekiranya dibuat secara ikhlas dan berpandukan kefahaman jelas terhadap hala tuju parti.

Bagaimanapun, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong menegaskan, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP tidak pernah memberikan sebarang mandat atau kuasa kepada mana-mana individu untuk mewakili parti itu bagi mengadakan sebarang bentuk perbincangan politik, rundingan kerjasama atau hubungan dengan Bersatu atau mana-mana pemimpinnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast