KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berbohong.
Itu penjelasan Bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Marzuki Mohamad menjawab dakwaan yang digelar Kem Datuk Seri Hamzah Zainuddin sedang menuduh Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya berbohong mengenai pemansuhan jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Menurut Marzuki, ada seorang ketua bahagian yang menyokong Hamzah menuduh Muhyiddin tidak jujur.
“Seorang ahli membuat aduan disiplin terhadap Muhyiddin. Kedua-dua ini dilaporkan secara meluas di media.
Ini adalah sebahagian daripada gerakan Muhyiddin Exit yang dikepalai oleh Hamzah,” katanya.
Marzuki juga mendedahkan beliau ada bersama dalam pertemuan antara Muhyiddin, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada malam 16 Januari 2026.
“Pertemuan pada malam tersebut diadakan untuk mencari jalan keluar kepada deadlock berhubung pelantikan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu. Pas mahu menjadi Pengerusi PN tetapi ditentang oleh dua parti komponen yang lain, iaitu Gerakan dan MIPP,” katanya dalam kenyataan.
Untuk rekod, pertemuan pada malam tersebut bukan atas jemputan Muhyiddin tetapi Pas yang mahu bertemu Muhyiddin.
“Sebagai jalan keluar, pertemuan pada malam itu telah memutuskan untuk memperkasakan peranan Majlis Presiden PN yang diketuai oleh Muhyiddin dan menubuhkan Majlis Eksekutif PN yang diketuai oleh calon yang akan dinamakan oleh Pas.
“Cadangan ini telah dipersetujui oleh Gerakan dan MIPP. Mereka melihat kedudukan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Presiden boleh mengimbangi imej Islam Pas yang lebih bersifat hardline.
“Maka selesailah kemelut yang sedang dihadapi oleh PN. Perlembagaan PN akan dipinda untuk tujuan ini,” katanya lagi.
Kedua-dua majlis itu akan diketuai oleh seorang pengerusi. Bermakna, selepas perlembagaan PN dipinda, PN akan mempunyai Pengerusi Majlis Presiden dan Pengerusi Majlis Eksekutif, katanya.
“Maka dengan sendirinya jawatan Pengerusi PN menjadi redundant. Nomenclature Pengerusi PN tidak ada lagi,” katanya.
Manakala kuasa Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif akan diperincikan dalam Jawatankuasa Teknikal yang ditubuhkan untuk mencadangkan pindaan perlembagaan PN.
“Yang penting bukan nomenclature Pengerusi PN. Tetapi bagaimanakah kuasa Pengerusi PN yang sedia ada dalam perlembagaan PN hendak diagihkan kepada Pengerusi Majlis Presiden dan Pengerusi Majlis Eksekutif.
“Jika Pas mahukah kuasa yang lebih, agihkanlah lebih kuasa kepada Pengerusi Majlis Eksekutif. Selesai masalah.
Ini cara bekerja yang betul. Bincangkanlah perkara ini semasak-masaknya dalam Jawatankuasa Teknikal mengikut proses yang telah dipersetujui dalam pertemuan pada malam 16 Januari.
“Ini tidak. Jawatankuasa Teknikal tidak dipanggil bermesyuarat tetapi tiba-tiba keluar notis Mesyuarat Luar Biasa PN yang agendanya bertentangan dengan persetujuan yang telah dicapai oleh Presiden Bersatu dan Pas dan dipersetujui oleh Presiden Gerakan dan MIPP.
“Kalau hendak buat keputusan sendiri, bertindak sendiri, lebih baik tidak perlu berbincang. Ini tindakan berniat jahat.
“Lebih jahat, proses perbincangan belum tamat tetapi telah menghukum Muhyiddin berbohong hanya kerana sekeping surat yang diutus oleh Hadi.
“Nampaknya ada orang yang sengaja throw spanner kepada persetujuan yang telah dicapai oleh Muhyiddin dan Hadi untuk kebaikan PN,” katanya. – MalaysiaGazette
















