KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan ada kaitan dengan mana-mana pihak yang melibatkan Jeffrey Epstein.
Perdana Menteri dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi Facebook berkata, beliau baru tahu hari ini bahawa ada pihak luar mahu bertemu dan siap ‘petik’ namanya dalam emel melibatkan kes Epstein.
“Alhamdulillah, dah belasan tahun seperti yang disebut dalam emel, dan saya langsung tiada kaitan dengan mana-mana pihak yang berbalas email tu, terutama Epstein 🤢.
“Ok, saya nak sambung jalan-jalan di Johor Bahru,” tulis beliau yang turut menyertakan tanda pagar #DoneExplain.
Isu ini tercetus apabila namanya muncul dalam satu set dokumen yang baharu dibuka oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ) berkaitan kes Jeffrey Epstein – seorang ahli kewangan yang disabit kesalahan jenayah seksual dan pemerdagangan manusia sebelum kematiannya.
Nama Anwar disebut dalam konteks politik dan potensi ekonomi.
Dalam emel bertarikh 21 Februari 2012, seseorang yang mendakwa rapat dengan Anwar mencadangkan agar diatur satu pertemuan antara Anwar dan seorang individu dikenali sebagai “Jes” yang dipercayai merujuk kepada Jes Staley, ketua pegawai eksekutif bahagian perbankan pelaburan JP Morgan.
Emel itu menyatakan sekiranya jika Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia, ia akan membersihkan dan membuka peluang besar untuk JP Morgan.
Emel itu dikatakan berlaku semasa Anwar masih menjadi pembangkang.
Susulan pendedahan itu, Armada Bersatu Malaysia menuntut penjelasan Anwar sama ada beliau pernah mempunyai sebarang bentuk interaksi dengan Epstein atau mana-mana individu sebagaimana pendedahan dokumen rasmi (DOJ)yang terkandung dalam arkib Epstein Files.
Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada Bersatu Malaysia, Na’im Brundage berkata, penjelasan juga perlu diberikan berhubung dakwaan potensi kedudukan Anwar sebagai perdana menteri dilihat memmpunyai peluang ‘lombong emas’ kepada institusi kewangan asing.
“Sebagai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajib tampil memberikan penjelasan penuh demi melindungi maruah dan integriti institusi kepimpinan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, pihaknya memandang serius pendedahan DOJ itu yang didakwa merekodkan perbincangan berkaitan rancangan untuk mengatur satu pertemuan peribadi antara Jeffrey Epstein dengan Anwar pada tahun 2012. – MalaysiaGazette
Armada tuntut PM beri penjelasan dakwaan kaitannya dengan Epstein
















