KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh melepaskan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara sukarela tanpa perlu mengadakan Perhimpunan Agung Khas (PAK) supaya beliau dipecat.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, perkara itu terkandung dalam perlembagaan Bersatu yang menyatakan Presiden boleh berhenti secara sukarela tanpa memerlukan PAK.
Menurut Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan, desakan oleh penyokong Muhyiddin supaya diadakan PAK bagi memecat beliau hanya akan menyerlahkan sikap `gila kuasa’ sehingga sanggup memaksa parti berpecah melalui PAK.
“Ini bukti Muhyiddin tidak sayang parti, tapi hanya sayang kuasa dan sayang diri. Jika sayang parti, pilih jalan harmoni iaitu letak jawatan sukarela.
“Mungkin boleh ditambah bahawa Muhyiddin juga sayang Azmin. Tapi itu topik lain,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Beliau menjawab kenyataan para penyokong Muhyiddin yang mana satu PAK perlu dipanggil untuk memecat Muhyiddin susulan desakan beberapa pihak di dalam Bersatu supaya Presiden Bersatu berkenaan melepaskan jawatan susulan kemelut dalaman parti itu ketika ini.
Menurut Wan Saiful, sekiranya Muhyiddin berhenti secara sukarela maka tiada lagi perpecahan dalam Bersatu kerana menjadi tanggungjawab pemangku presiden untuk segera menyatukan parti.
Katanya, langkah pertama penyatuan itu ialah menukar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Tun Faisal Ismail Aziz daripada jawatan mereka yang disifatkan beliau bukan hanya merosakkan parti, tetapi juga merosakkan karakter Muhyiddin.
“Letak jawatan secara sukarela adalah cara berperlembagaan yang paling harmoni. Dulu Muhyiddin sendiri pernah gesa (Allahyarham) Tun Abdullah Badawi letak jawatan tanpa PAK.
“Jangan ada lagi sesiapa yang cuba mengubah tiang gol dengan mengatakan sila buat PAK. Kalau sayang parti, letak jawatan lebih baik,” katanya. – MalaysiaGazette
















