JOHOR BAHRU – Sebanyak 75 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dikeluarkan di seluruh negeri ini sejak penguatkuasaan kesalahan membuang sampah di tempat awam dilaksanakan bermula 1 Januari lalu.
Pengarah SWCorp Negeri Johor, Zainal Fitri Ahmad berkata, penguatkuasaan itu dijalankan secara intensif di lokasi-lokasi strategik bagi memastikan tahap kebersihan awam terus terpelihara.
“Sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember 2025, sebanyak 44 notis telah dikeluarkan kepada warga tempatan manakala 31 notis lagi ke atas warga asing.
“Sebanyak 57 kertas siasatan telah dibuka dan dihantar ke pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan sempena sambutan Perayaan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniam Paripalana Saba, Masai di sini semalam.
Zainal Fitri berkata, setakat ini tiga individu warga asing sudah didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Katanya, seorang warga Indonesia didenda RM500 dan diperintahkan menjalani Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) selama enam jam pada 23 Januari lalu manakala seorang warga Bangladesh didenda RM1,000 serta PKM enam jam pada 28 Januari lalu.
“Satu lagi kes melibatkan warga Nepal yang masih dalam proses mahkamah dan ditetapkan untuk sebutan semula 6 Mac ini bagi tujuan penyediaan jurubahasa sebelum hukuman diputuskan,” ujarnya.
Menurutnya, semua pesalah yang dijatuhi hukuman PKM dijadualkan melaksanakan perintah tersebut secara serentak pada 13 Februari ini.
Di bawah Seksyen 77A(1) akta berkenaan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau PKM secara mandatori manakala kegagalan mematuhi PKM pula boleh membawa kepada denda maksimum sehingga RM10,000.- MalaysiaGazette
















