KUALA LANGAT – Sebuah stor simpanan barang kitar semula di Jalan Utama Batu 9, Sijangkang, Telok Panglima Garang di sini hampir musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, stor terbuka berkeluasan 10,000 kaki persegi itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.42 pagi.

“Seramai 18 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Panglima Garang, BBP Andalas dan BBP Pelabuhan Klang dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, kami mendapati api sedang marak di stor simpanan kitar semula berkeluasan kira-kira 100 x 100 kaki persegi tersebut,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Mukhlis berkata, operasi pemadaman itu yang diketuai Pegawai Bomba Yunus Mohamed mendapati stor berkenaan musnah 50 peratus.

“Tiada mangsa yang terlibat dalam kebakaran ini. Kerja-kerja pemadaman sedang dilakukan anggota bertugas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast