Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membaca buku Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dan Buku Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di PICC, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 20 JANUARI 2026. (Gambar fail)

SEDIKIT demi sedikit, lama-lama menjadi bukit.

Begitulah hakikat membina sesuatu yang bernama institusi. Universiti tidak lahir daripada retorik semata-mata dan kebebasan akademik tidak tumbuh dalam ruang kosong.

Ia dibina melalui struktur, dipelihara oleh dasar dan dimatangkan oleh masa.

Justeru, apabila Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) dibentangkan sebagai hala tuju dekad akan datang, ia wajar dibaca bukan dengan emosi tergesa-gesa tetapi dengan kebijaksanaan institusi.

Dalam konteks ini, inisiatif memperkenalkan RPTM oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir selaku Menteri Pendidikan Tinggi harus dilihat sebagai usaha strategik yang berpandangan jauh.

Ia mencerminkan kefahaman bahawa reformasi pendidikan tinggi tidak boleh digerakkan secara populis atau reaktif sebaliknya mesti dipandu oleh kerangka dasar yang tersusun, realistik dan berpijak pada realiti tadbir urus universiti awam.

Kebebasan akademik sering difahami sebagai tuntutan mutlak, seolah-olah ia boleh ditegakkan dengan satu pindaan atau satu pengumuman.

Hakikatnya, kebebasan akademik ialah hasil daripada keseimbangan antara autonomi dan akauntabiliti, antara keberanian bersuara dan tanggungjawab institusi.

Di sinilah titik temu sebenar antara kebebasan akademik dan reformasi pendidikan tinggi perlu difahami dalam kerangka RPTM.

RPTM tidak mendakwa dirinya sebagai penyelesaian magikal.

Ia bukan manifesto emosi tetapi dokumen strategik yang menggariskan proses jangka panjang. Dalam dunia sebenar tadbir urus universiti awam, reformasi yang berkesan tidak berlaku secara semalaman.

Ia menuntut fasa peralihan, penyelarasan undang-undang, penyesuaian budaya organisasi, dan yang paling penting, kestabilan ekosistem akademik.

Menuntut perubahan menyeluruh tanpa menghitung implikasi pelaksanaan hanya akan melahirkan kekeliruan, bukan pembebasan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, reformasi pendidikan tinggi di Malaysia sebenarnya telah mula bergerak, biarpun perlahan tetapi konsisten.

Pendekatan terhadap kebebasan akademik dan penglibatan pelajar telah melalui pelonggaran yang signifikan.

Aktiviti pelajar tidak lagi dilihat semata-mata sebagai risiko yang perlu dikawal, tetapi sebagai ruang pembelajaran demokrasi.

Pendekatan disiplin pula semakin beralih daripada hukuman kepada pendidikan dan pemulihan. Ini bukan perubahan kosmetik, tetapi perubahan falsafah.

Pada peringkat institusi, universiti awam juga menunjukkan kesediaan untuk melaksanakan reformasi secara berprinsip. Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), misalnya, menegaskan pendirian bahawa Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kekal relevan islah yang sentiasa responsif terhadap keperluan semasa khususnya dalam memperkasa pembangunan sahsiah, kepimpinan dan keterlibatan mahasiswa secara berstruktur, bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang.

Pada masa yang sama, tadbir urus universiti juga sedang melalui proses pengimbangan semula. Peranan badan akademik diperkukuh melalui amalan berasaskan polisi dan prosedur yang lebih telus.

Kepimpinan universiti hari ini dinilai bukan sekadar pada kuasa pentadbiran tetapi pada keupayaan membina konsensus, mengurus kepelbagaian pandangan, dan memelihara integriti akademik.

Inilah bentuk kebebasan akademik yang lestari, kebebasan yang berakar pada sistem bukan bergantung kepada individu.

RPTM, dalam konteks ini, harus dilihat sebagai pelantar penyatuan. Ia menghubungkan aspirasi kebebasan akademik dengan realiti perundangan dan keperluan nasional. Kebebasan akademik tidak boleh wujud secara terpisah antara institusi awam dan swasta, antara universiti besar dan kecil, atau antara kampus bandar dan luar bandar.

RPTM membawa mesej penting bahawa kebebasan berfikir adalah nilai nasional tetapi pelaksanaannya mesti sistemik dan berfasa.

Kebimbangan bahawa reformasi akan melemahkan ketertiban sering dibangkitkan.

Namun pengalaman mutakhir menunjukkan sebaliknya. Apabila pelajar dan warga akademik diberi kepercayaan dalam kerangka yang jelas, yang lahir bukan kekacauan tetapi kematangan.

Ketertiban yang dibina melalui penyertaan jauh lebih kukuh daripada ketertiban yang dipaksakan melalui kawalan.

Inilah logik reformasi yang sedang diusahakan iaitu bukan mengendurkan disiplin tetapi mengangkat tanggungjawab.

Dalam kerangka kepimpinan universiti, reformasi ini menuntut kebijaksanaan membaca zaman. Pemimpin akademik hari ini tidak lagi boleh bersandar pada autoriti semata-mata, tetapi perlu membina legitimasi melalui keterbukaan, dialog dan prestasi.

Universiti yang berdaya tahan ialah universiti yang mampu menampung perbezaan pandangan tanpa kehilangan arah. RPTM memberi ruang untuk itu, jika dibaca dengan jujur dan dilaksanakan dengan amanah.

Akhirnya, persoalan sebenar bukan sama ada kebebasan akademik wujud atau tidak, tetapi bagaimana ia dibina agar mampu bertahan. Kebebasan yang tidak disokong struktur hanya akan menjadi slogan.

Reformasi yang tidak disandarkan kepada kesabaran institusi hanya akan menjadi episod sementara.

RPTM meletakkan asas untuk menyatukan kedua-duanya yakni kebebasan sebagai prinsip, reformasi sebagai proses.

Di titik temu inilah masa depan pendidikan tinggi negara sedang dibentuk. Bukan dengan laungan paling kuat tetapi dengan kerja paling konsisten. Bukan dengan tuntutan tergesa-gesa tetapi dengan reformasi yang berakar.

Kerana universiti yang serius tidak dibina untuk tepukan segera, tetapi untuk ketahanan ilmu jangka panjang.

Profesor Madya Datuk Dr. Sabri Bin Mohamad Sharif.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni
Universiti Teknikal Malaysia Melaka

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.