Yunus Nurdin.

KUALA LUMPUR – Gesaan supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus disuarakan dari dalam parti itu, kali ini oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Yunus Nurdin.

Ketua Bersatu Bahagian Libaran itu berkata, ia susulan penafian MPT Bersatu sebelum ini yang mana perkara yang dibincangkan Muhyiddin bersama pemimpin Pas pernah dibawa, dibincang atau dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat rasmi MPT Bersatu.

Menurutnya, penafian itu termasuk berkaitan cadangan pemansuhan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Dakwa beliau, kenyataan dan tindakan unilateral oleh Muhyiddin itu mewujudkan kekeliruan politik, mengganggu kepercayaan dalaman parti serta berpotensi merenggangkan hubungan strategik dalam gagasan PN.

“Ia sekali gus menjejaskan kestabilan gabungan yang sepatutnya dibina atas asas musyawarah dan keputusan kolektif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Yunus turut menyifatkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai calon paling layak memangku jawatan pemangku Presiden Bersatu sekiranya Muhyiddin melepaskan jawatan itu.

Ini kerana, menurutnya, kepimpinan Hamzah disifatkan mempunyai kewibawaan, pengalaman serta kebijaksanaan politik untuk menyelesaikan konflik dalaman PN.

Dalam masa sama, kata beliau, Hamzah dinilai bekemampuan memperkukuh struktur kepimpinan Bersatu dan membaiki hubungan antara parti-parti komponen dalam gabungan PN.

“Hamzah juga dilihat sebagai pemimpin yang cukup berpengalaman untuk menggalas tanggungjawab kepimpinan Bersatu, membina semula kepercayaan dalaman parti, serta memulihkan hubungan strategik dalam PN secara lebih tersusun, berdisiplin dan berteraskan kestabilan jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, Yunus turut berpandangan Muhyiddin wajar memberi tumpuan kepada perkara-perkara perundangan yang sedang dihadapi termasuk perbicaraan kes berkaitan Jana Wibawa yang dijadualkan bermula Mac ini.

Katanya, ia supaya urusan kepimpinan parti dan pengurusan gabungan politik tidak terus dibebani oleh kontroversi serta polemik yang berpanjangan.

Tegas beliau, PN perlu dibina sebagai satu gagasan politik yang utuh, stabil dan diyakini rakyat, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), bukan sebagai gabungan yang terus dibelenggu konflik kepimpinan, percanggahan kenyataan dan krisis kepercayaan dalaman.

“Bersatu dan PN hanya akan kekal relevan sebagai alternatif kepimpinan negara sekiranya kepimpinan gabungan berpaksikan kepada integriti, kejelasan hala tuju, keputusan kolektif dan penyatuan sebenar, bukan politik persepsi dan tindakan unilateral,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast