KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz membidas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Yunus Nurdin yang menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatannya sebagai Presiden.
Menurut beliau, adalah lebih baik Yunus meminta Datuk Seri Hamzah Zainudin berundur sebagai Timbalan Presiden atas kegagalan melaksanakan tugas dan peranannya sebelum ini.
Katanya, ia termasuk kegagalan sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah dan mengawal tindak-tanduk penyokongnya yang berulang kali melanggar perlembagaan serta disiplin Bersatu sejak tahun lalu.
Dalam masa sama, tegas beliau, Yunus turut boleh mencadangkan agar dirinya sendiri berundur kerana sebagai Setiausaha Negeri Badan Pimpinan Negeri Sabah, Yunus merupakan sebahagian daripada kegagalan perancangan pada PRN Sabah.
“Sebagai Ahli MPT tidak sewajarnya beliau tidak faham mengenai kuasa eksekutif Presiden Bersatu untuk berunding dan status hasil perbincangan bersama Presiden Pas adalah berbentuk rundingan dan cadangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tun Faisal Ismail mengulas mengenai desakan Yunus hari ini supaya Muhyiddin melepaskan jawatan Presiden Bersatu dan mencadangkan supaya Hamzah menjadi pemangku kepada jawatan itu.
Yunus yang juga Ketua Bersatu Bahagian Libaran berkata, ia susulan penafian MPT Bersatu sebelum ini yang mana perkara yang dibincangkan Muhyiddin bersama pemimpin Pas pernah dibawa, dibincang atau dipersetujui dalam mana-mana mesyuarat rasmi MPT Bersatu serta penafian berkaitan cadangan pemansuhan jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Dakwa beliau, kenyataan dan tindakan unilateral tersebut telah mewujudkan kekeliruan politik, mengganggu kepercayaan dalaman parti serta berpotensi merenggangkan hubungan strategik dalam gagasan PN.
Dalam masa sama, Yunus berkata, Hamzah dilihat calon paling sesuai menggantikan Muhyiddin kerana kepimpinannya disifatkan mempunyai kewibawaan, pengalaman serta kebijaksanaan politik untuk menyelesaikan konflik dalaman Bersatu dan Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette
















