Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika hadir pada Majlis Amanat Ketua Pengarah AKPS Tahun 2026 di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 03 FEBRUARI 2026

PUTRAJAYA – Skim perkhidmatan tersendiri bagi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dijangka dimuktamadkan pada hujung suku pertama atau lewat suku kedua tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, sehingga kini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) masih dalam proses memperhalusi pelaksanaan skim itu sebelum dibentang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa yang terdekat.

“Sejurus mendapat persetujuan YAB Perdana Menteri sesi penerangan akan dilakukan sebelum penawaran skim dibuat kepada Tuan-Tuan dan Puan-Puan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Bersama AKPS di Setia Perkasa 3, hari ini.

Jelasnya, skim itu memerlukan 13,721 perjawatan dan pegawai bagi membantu pelaksanaan tugas dan operasi sekaligus memastikan pintu masuk negara sentiasa selamat.

Terdahulu, skim berkenaan bertujuan menamatkan kebergantungan pada pengkaderan daripada enam agensi teras, dengan 13,000 perjawatan sedang dipindahkan.

Selain itu Shuhaily ketika berucap turut menyentuh tentang pengambilalihan aset-aset milik agensi demi menyokong pelaksanaan operasi AKPS.

“Ini kerana aset-aset strategik dan berteknologi tinggi milik agensi teras hanya boleh dioptimumkan apabila AKPS mempunyai sumber manusia yang mencukupi selain mereka yang terlatih untuk mengendali aset-aset itu,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan Pusat Tanggungjawab (PTJ) telah dikemukakan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum diserah kepada JPA.

Tambahnya, PTJ akan berfungsi seperti sebuah kontinjen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal selia aspek kewangan, kebajikan dan pentadbiran.

“Keperluan untuk kita mewujudkan PTJ itu amat-amat diperlukan. Kita ada cadang 10 PTJ (diwujudkan) tetapi ada kewajaran yang difikirkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman.

“Beliau mengesyorkan supaya ia ditambah terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika sidang media.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast