Oleh Abduh Wagiman
Dalam wacana keagamaan dan sosial kontemporari, istilah penyatuan ummah sering diangkat sebagai slogan yang muluk dan memikat emosi. Namun, di sebalik keindahan lafaznya, konsep ini kerap dimanipulasi, disempitkan, malah disalahgunakan sehingga menyimpang daripada makna asal yang digariskan oleh al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Penyatuan ummah hari ini bukan sahaja berdepan cabaran perpecahan politik dan ideologi, tetapi juga krisis kefahaman yang serius tentang apakah yang dimaksudkan dengan ummah itu sendiri.
Dari sudut bahasa, perkataan ummah berasal daripada akar kata Arab amma–ya’ummu yang membawa beberapa pengertian utama: asal-usul, tempat kembali, jemaah atau kumpulan, serta agama. Kesemua makna ini bertemu pada satu titik penting, iaitu keterikatan manusia kepada suatu asas bersama yang bersifat menyeluruh. Dalam konteks Islam, istilah ini merujuk secara khusus kepada umat Rasulullah SAW, iaitu mereka yang beriman dan mengikuti agama yang dibawa oleh Baginda. Inilah yang disebut sebagai umat ijabah — umat yang menyahut seruan tauhid dan tunduk kepada syariat.
Ummatan Wasatan
Al-Quran dengan jelas menetapkan kedudukan umat Islam sebagai ummatan wasatan, umat pertengahan yang memikul amanah besar sebagai saksi ke atas manusia. Kedudukan ini bukan anugerah kosong, tetapi tanggungjawab moral dan spiritual yang menuntut kesatuan, keseimbangan dan keadilan. Maka, sesiapa yang tergolong dalam umat Rasulullah SAW terikat dengan kewajipan menjaga kesatuan ummah dan memelihara kalimah tauhid, serta diharamkan daripada memecahkan jemaah umat Islam melalui murtad, pembelotan atau pengkhianatan terhadap asas agama.
Prinsip ini ditegaskan oleh Rasulullah SAW dengan ukuran yang amat jelas dan praktikal: sesiapa yang mendirikan solat seperti umat Islam, menghadap kiblat yang sama dan memakan sembelihan umat Islam, maka dia adalah Muslim yang berada di bawah perlindungan Allah dan Rasul-Nya. Ukuran ini menunjukkan bahawa asas kesatuan ummah terletak pada tauhid dan amalan zahir yang disepakati, bukan pada keseragaman politik, aliran pemikiran atau keanggotaan kumpulan tertentu.
Lebih tegas lagi, Islam mengharamkan penumpahan darah seorang Muslim selagi mana dia masih bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasul Allah, kecuali dalam keadaan yang sangat terhad sebagaimana yang ditetapkan oleh syarak. Antara sebab utama yang membawa kepada hukuman paling berat ialah tindakan meninggalkan agama serta memisahkan diri daripada jemaah umat Islam. Ini menunjukkan bahawa kesatuan ummah adalah prinsip asas yang tidak boleh dipermainkan atau ditafsirkan sesuka hati.
Umat dakwah
Namun, di sinilah muncul persoalan penting yang sering mengelirukan masyarakat: adakah mereka yang bukan Islam termasuk dalam umat Rasulullah SAW? Jawapannya ya, tetapi dalam kategori yang berbeza. Mereka tergolong sebagai umat dakwah — umat yang menjadi sasaran seruan Islam. Al-Quran menegaskan bahawa Rasulullah SAW diutus kepada suatu umat yang telah didatangi oleh pelbagai umat sebelumnya, termasuk mereka yang menolak kebenaran. Peranan umat Islam terhadap golongan ini ialah menyampaikan dakwah dengan hikmah, bukan memaksa, apatah lagi memusuhi tanpa sebab yang dibenarkan syarak.
Dalam hal ini, Islam menetapkan prinsip yang sangat jelas: tiada paksaan dalam agama. Penyatuan umat dakwah tidak bermaksud menyamaratakan akidah, tetapi menuntut sikap saling menghormati, tidak memerangi penganut Islam, dan membuka ruang kepada kebenaran untuk disampaikan. Namun, realiti yang berlaku hari ini menunjukkan kegagalan serius dalam menghayati prinsip ini. Apa yang lebih membimbangkan, perpecahan bukan sahaja berlaku antara agama, tetapi juga sesama Muslim sendiri.
Menangani budaya pelabelan
Atas nama mempertahankan agama, muncul budaya pelabelan yang melampau dan berbahaya. Sesama Muslim dilabel dengan gelaran yang sarat dengan unsur pentakfiran terselindung seperti “liberal”, “munafik”, “syaitan” dan pelbagai istilah lain yang merendahkan martabat persaudaraan Islam. Fenomena ini bukan sahaja mencemarkan akhlak dakwah, malah meruntuhkan asas penyatuan ummah yang sebenar.
Lebih kritikal lagi, konsep penyatuan ummah hari ini sering disempitkan kepada projek kumpulan tertentu. Apabila penyatuan digerakkan oleh satu atau dua kelompok, lalu diangkat sebagai “penyatuan ummah”, sedangkan kelompok lain dipinggirkan atau dipaksa tunduk kepada acuan sempit mereka, maka hakikatnya itu bukan penyatuan ummah, tetapi penguasaan kelompok. Lebih parah, apabila usaha tersebut gagal, lalu penyatuan ditangguhkan atau ditinggalkan begitu sahaja, seolah-olah kesatuan ummah adalah projek bermusim yang boleh dibuka dan ditutup mengikut kepentingan semasa.
Contoh mudah boleh dilihat apabila beberapa kumpulan bersatu atas nama ummah, dicanangkan secara besar-besaran, kemudian berlaku pertelingkahan dalaman, lalu masing-masing berpecah dan saling menyalahkan. Akhirnya, konsep penyatuan ummah itu sendiri menjadi mangsa, disalahfahami dan dipandang sinis oleh masyarakat. Inilah akibat apabila prinsip Ilahi digantikan dengan strategi manusia yang cetek dan berkepentingan.
Kesatuan ummah
Hakikatnya, umat Islam sentiasa berada dalam satu jemaah yang besar, iaitu jemaah ahli tauhid dan ahli kiblat. Selagi mana iman tidak terbatal, selagi itulah kesatuan ummah wujud, walaupun terdapat perbezaan mazhab, manhaj atau pendekatan. Kesatuan ini tidak memerlukan pengisytiharan politik atau slogan kosong; ia wujud secara hakiki melalui tauhid dan ketaatan kepada Rasulullah SAW.
Islam tidak melarang kerjasama dalam kebaikan, malah menggalakkannya. Jika mana-mana usaha, walaupun datang daripada kelompok tertentu, bertepatan dengan nilai Islam, maka umat Islam boleh membantu atas dasar ta‘awun ‘ala al-birr wa al-taqwa. Namun, bantuan itu tidak bermaksud mengiktiraf dakwaan bahawa hanya satu kelompok sahaja mewakili ummah, manakala yang lain terkeluar daripadanya.
Di sinilah letaknya bahaya terbesar: apabila ada pihak mendakwa bahawa “jika tidak bersama kami, maka kamu bukan bersama ummah”. Dakwaan sebegini bukan sahaja dangkal, tetapi bercanggah dengan roh Islam yang luas dan rahmat yang menyeluruh. Rasulullah SAW sendiri menegur seorang Arab Badwi yang menyempitkan rahmat Allah hanya untuk dirinya dan Baginda, dengan peringatan tegas bahawa dia telah menyempitkan sesuatu yang sangat luas.
Pengajaran daripada hadis ini amat besar. Rahmat Allah itu luas, dan begitu juga konsep-konsep utama dalam Islam, termasuk penyatuan ummah. Sesiapa yang menyempitkannya mengikut kehendak sendiri sebenarnya sedang mencipta “agama versi baharu” yang tidak diizinkan oleh Allah. Al-Quran memberi amaran keras terhadap perbuatan menetapkan aturan agama tanpa izin Ilahi, dan akibatnya adalah azab yang pedih.
Kesimpulannya, penyatuan ummah yang sebenar bukan dibina atas dasar kepentingan politik, kelompok atau sentimen sempit, tetapi berpaksikan tauhid, sunnah dan kefahaman yang sahih. Ia bersifat luas, merangkum, dan berteraskan prinsip, bukan eksklusif atau memecah-belahkan. Dalam usaha mencari kesatuan, umat Islam wajib berhati-hati agar tidak merosakkan konsep suci ini dengan tindakan yang tidak diizinkan oleh syarak. Kerana akhirnya, penyatuan ummah bukan milik mana-mana kumpulan, tetapi amanah Allah yang mesti dipelihara dengan ilmu, hikmah dan kejujuran.
— ABDUH Wagiman berasal dari selatan tanah air dan graduan universiti di Timur Tengah. Aktif menjadi pendakwah bebas bertauliah di sekitar Lembah Klang. Telah menjalani tempoh pengajian hampir 10 tahun di beberapa negara Arab dengan mengikuti sistem kuliah di universiti dan talaqqi kitab di masjid bersama sheikh-sheikh Arab dan berpeluang mengikuti gerakan dakwah dan politik di Timur Tengah yang penuh dengan kepelbagaian dan keunikan dari segi kefahaman dan ketaksuban.
















