Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari turut mencadangkan kajian menyeluruh Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) termasuk kedudukannya dalam Perlembagaan dan kesannya kepada dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan oleh ahli-ahli akademik berpengalaman.

Menurut Ahmad Fadhli, mana-mana universiti boleh dipilih untuk melaksanakan kajian itu dengan ahli-ahli akademik yang diiktiraf dalam bidang berkaitan.

“Bukan parti politik buat kajian ini, apa nak takut kan? Realitinya bukan isu kajian, isunya ialah kecenderungan politik yang telah diketahui sejak lama,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Ahmad Fadhli merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh bahawa kajian berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan dilaksanakan oleh DAP sebaliknya dibuat oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut Hannah, kajian terbabit dijalankan sejak Disember lalu di bawah bekas menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan sebelum ini namun hasil kajian itu masih belum diperoleh.

Terdahulu, beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh membantah cadangan melaksanakan pilihan raya PBT serta pemilihan Datuk Bandar yang disifatkan kesinambungan usaha sebelum ini termasuk cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB).

DAP Wilayah Persekutuan pada 2023 pernah menggesa kerajaan supaya mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast