KUALA LUMPUR – Pemuda Pas Pusat mengingatkan pihak-pihak terlibat tidak berselindung di sebalik `kajian’ untuk menghalalkan agenda politik yang hala tuju dan niatnya sudah jelas.
Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri mendakwa, realitinya kajian berkenaan pilihan raya Datuk Bandar hanyalah pintu masuk bagi menghidupkan semula agenda pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang telah lama ditolak rakyat demi menjaga kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi menyifakan alasan `kajian’ dalam polemik pilihan raya Datuk Bandar adalah satu cubaan mengaburi isu sebenar.
“Isu pokoknya bukan soal takut atau enggan kepada kajian, tetapi persoalan asas: apakah keperluan sebenar kajian ini?
“Sedangkan sejak awal lagi pilihan raya PBT merupakan cadangan yang tidak wajar dan tidak sesuai dilaksanakan dalam konteks Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan, kajian sedang dijalankan sejak Disember lalu oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Sementara itu, Mohd Hafez berkata, negara ini tidak memerlukan pilihan raya di peringkat PBT memandangkan sistem sedia ada melalui pilihan raya umum (PRU) sudah memadai untuk mewakili suara rakyat serta memastikan prinsip kebertanggungjawaban kerajaan kepada rakyat terus terpelihara.
Sehubungan itu, beliau mengulangi pendirian Pemuda Pas Pusat yang tegas menolak pilihan raya PBT dalam apa jua bentuk, versi, penjenamaan atau justifikasi sekali pun.
“Nasihat kami kepada Menteri DAP, jangan sesekali mempertaruhkan kestabilan dan keharmonian negara demi memenuhi agenda politik kalian.
“Jika amaran ini dipandang ringan, jangan terkejut apabila berdepan dengan kebangkitan dan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















