KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pengukuhan Parti Bersatu mengadakan mesyuarat pertama hari ini bagi membincangkan serta mencari jalan mendamaikan pemimpin-pemimpin parti itu yang berselisih faham dan bertelagah.
Mesyuarat itu yang berlangsung di Wisma Budi di sini, dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim serta dihadiri beberapa ahli yang turut dilantik menganggotai jawatan kuasa tersebut.
Antaranya Tan Sri Noh Omar; Tan Sri Rahim Thamby Chik; Datuk Seri Khir Toyo; Datuk Kamaruddin Md Nor; Datin Marzita Mansor; Datuk Asmawi Harun; Datuk Kamaruddin Jaafar dan Jaziri Abdillah Suffian.
Menerusi laman sosial Facebooknya, Rahim berkata, mesyuarat itu memfokuskan usaha merapatkan semula silaturahim dalam kalangan pemimpin Bersatu yang bertelagah supaya dapat kembali semula kepada penghayatan semangat perjuangan parti yang asal dan tulen.
Menurut beliau, ia bukan merupakan satu tugas dan tanggungjawab yang mudah, sebaliknya isu yang dibincangkan disifatkan amat rumit dan kompleks.
Sehubungan itu, ujarnya, usaha tersebut memerlukan setiap pihak terlibat bersedia menghulurkan kerjasama dengan meletakkan kepentingan parti melebihi atau mengatasi kepentingan peribadi.
“Walaupun amat sukar dan berat cabaran-cabaran yang dipikul, namun demi masa depan parti yang lebih cemerlang dan mantap, jawatankuasa ini akan terus bergerak ke depan mencari penyelesaian,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengurus dan meredakan perbezaan pandangan dalam kalangan ahli parti, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kestabilan serta kesepaduan dalaman parti.
Jawatankuasa Pengukuhan Parti Bersatu itu diberi mandat khusus mengendalikan isu-isu perbezaan pendapat, salah faham serta ketegangan dalaman secara berstruktur dan berhemah.
Ia selaras dengan semangat perdamaian yang dipersetujui kepimpinan tertinggi parti.
Penubuhan jawatankuasa itu juga mencerminkan komitmen MPT Bersatu untuk menangani perbezaan pandangan secara dalaman tanpa menjejaskan imej parti, selain mengelakkan konflik terbuka yang boleh melemahkan kepercayaan ahli serta sokongan rakyat terhadap parti tersebut. – MalaysiaGazette
















