Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya

KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya menyifatkan teguran Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkenaan sebutan Alhamdulillah adalah wajar dan berasas.

Menurutnya, ia bukan larangan secara mutlak penggunaan kalimah tersebut, tetapi kebimbangan ia digunakan sekadar untuk tipu daya dan sengaja mengelirukan umat Islam.

Jelasnya, dalam Islam setiap ucapan zikir itu adalah lambang kebesaran dan keagungan Allah SWT dan merupakan kalimat yang sangat dimuliakan.

“Nga Kor Ming menggunakan kalimah “Alhamdulillah”, sujud syukur dan sebagainya atas nilaian apa sedangkan beliau sendiri tidak beriman kepada Allah SWT.

“Itu asas yang dibangkitkan. Adakah dia sedar makna sebenar di sebalik apa yang diungkapkan itu?

“Lafaz Alhamdulillah yg dirujuk itu, Allah SWT yang mana? Adakah Allah yg Esa atau Allah yang ada sekutu sedangkan tiada sekutu bagi-Nya.

“Malah, sebelum ini beliau juga menggunakan istilah taubat dan solat hajat yang ditujukan kepada umat Islam. Bukankah penggunaan kalimah-kalimah ini oleh Nga Kor Ming suatu ketika dahulu seolah-olah suatu sindiran?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Ahmad berpendirian tindakan Siti Zailah bukan disebabkan faktor emosi, malah mana-mana umat Islam yang mendengar ucapan Kor Ming ketika perbahasan di Dewan Rakyat akan merasai perkara yang sama.

Dakwa beliau, ia gambaran kalimah yang agung di sisi umat Islam itu sedang dipermainkan, bukan suatu bentuk lafaz yang membesarkan Allah SWT.

“Kepada siapa puji-pujian yang terkandung dalam lafaz Alhamdulillah tersebut?

“Kepada siapa sujud syukur itu dipersembahkan?

“Nga Kor Ming nampaknya tidak pernah serik dan menggunakannya tanpa batasan,” katanya.

Tambah beliau, penggunaan kalimah-kalimah yang terkandung dalam syariat termasuk dalam konteks menterjemah ayat al-Quran secara sewenang-wenangnya serta tidak memahami makna di sebalik apa yang diungkapkan adalah suatu bentuk penghinaan terhadap agama Islam.

Jelasnya, perkara itu adalah pendirian Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang pada 3 Disember 2010.

Begitupun, ujarnya, Jawatankuasa Fatwa tidak melarang secara mutlak penggunaan kalimah tersebut kepada bukan Islam, namun mesti dilakukan secara tertib dan tidak bersifat boleh membawa kepada penyalahgunaan kalimah tersebut secara sewenang-wenangnya.

Tambahan pula, tambah beliau, larangan itu juga termaktub dalam Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) Negeri Selangor 1988.

Beliau turut berkongsi Jadual (Seksyen 9) Bahagian I dan Bahagian II enakmen itu yang memperincikan perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam secara bermudah-mudah termasuklah “ibadah”, “syariah” serta “Nabi” dan kalimah-kalimah agung seperti “Allahu akbar”, “Insya-Allah” dan “Masya-Allah”.

“Oleh itu, Nga Kor Ming tidak perlulah asyik melanggar batasan yang ada. Lafaz itu adalah hak eksklusif umat Islam,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Dulu semasa Balasubramaniam a/l Nachiappan berucap dan memetik ayat Quran dan terjemahan dalam muktamar pas, tidak pulak kamu tegur. senyap dan bisu.
    Begitu juga bila dia mendakwa bermimpi jumpa Nabi.

Comments are closed.