KUALA LUMPUR – Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) menyangkal persepsi gaji pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) menurun kerana berlaku `lambakan SHO’ di pasaran.
Presiden MSOSH, Datuk Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata, berdasarkan fakta semasa, tiada lambakan SHO sedang berlaku, sebaliknya dakwaan itu lebih kepada khabar angin yang tersebar tanpa asas kukuh.
Setakat ini, menurut beliau, lebih 3,000 syarikat telah mengesahkan penggajian sekitar 5,000 SHO, memandangkan ada organisasi yang menggajikan lebih daripada seorang SHO.
“MSOSH sedang meneruskan kajian dan tinjauan industri, dan sekiranya lebih 5,500 syarikat mengesahkan pengambilan SHO, maka jelas bahawa pasaran masih memerlukan SHO dan dakwaan lambakan adalah tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, MSOSH turut menerima aduan yang lebih membimbangkan berhubung pengambilan SHO melalui ejen atau pihak ketiga.
Dakwa beliau, dalam beberapa kes, syarikat dilaporkan membayar sehingga RM12,000 hingga RM13,000 bagi seorang SHO, namun SHO tersebut hanya menerima sekitar RM5,000, tanpa caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Tegasnya, amalan itu bukan sahaja menekan kadar gaji SHO, malah menjejaskan kebajikan dan keselamatan sosial mereka.
“Lebih serius, amalan ini bercanggah dengan kehendak undang-undang.
“Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) dan pindaan 2022, pelantikan SHO adalah tanggungjawab statutori majikan dan perlu dibuat melalui Contract of Service, iaitu penggajian secara langsung,” katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, sekiranya dakwaan berkaitan penyelewengan bayaran dan eksploitasi melalui ejen itu disahkan, MSOSH tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dengan membawa isu terbabit kepada pihak berkuasa berkaitan demi melindungi profesion SHO dan kepentingan keselamatan pekerja.
Dalam masa sama, beliau menyeru majikan agar tidak melihat SHO sekadar sebagai keperluan pematuhan, tetapi sebagai pelaburan keselamatan dan tanggungjawab rahmah kepada pekerja.
“Keselamatan tempat kerja tidak boleh diurus melalui jalan pintas atau pihak tengah yang menghakis integriti sistem,” katanya. – MalaysiaGazette
















