KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kekal dengan pendirian hanya menerima calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dalam kalangan presiden parti anggota gabungan itu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pendirian ini selaras dengan keputusan yang dibuat semasa Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 12 Januari lalu.
“Keputusan mesyuarat itu masih kekal, belum berubah, begitu juga keputusan-keputusan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mengesahkan hasrat untuk mengambil alih jawatan Pengerusi PN daripada Bersatu dengan persetujuan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tanpa sebarang syarat.
Pengesahan ini sekali gus menamatkan spekulasi krisis kepimpinan gabungan itu yang akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN hujung bulan ini.
Sementara itu, dalam kenyataan berbeza, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan parti itu sudah mempunyai calon yang akan dilantik sebagai Pengerusi PN.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, identiti calon berkenaan belum boleh diumumkan buat masa ini kerana pelantikan Pengerusi PN tertakluk kepada keputusan MT PN, namun memberi jaminan calon itu merupakan pemimpin tertinggi Pas dan merupakan ahli parlimen.
Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, beliau juga setakat ini difahamkan hasil perbincangan dan permuafakatan daripada pertemuan dua Presiden pada 16 Januari lalu dan Pre-council Presiden-Presiden parti-parti anggota PN pada 29 Januari lalu, masih dirujuk. – MalaysiaGazette
















