KUALA LUMPUR – Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) sekali lagi mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi apabila diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi The BrandLaureate BestBrands Awards 2026, dalam kategori ‘Excellence in Professional & Skills – Focused Higher Education’.
Naib Canselor UPTM, Prof. Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen berterusan universiti itu dalam menawarkan pendidikan yang relevan, inklusif dan berorientasikan masa hadapan.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan jenama, tetapi pengesahan terhadap pendekatan UPTM yang menekankan penguasaan kemahiran profesional, pembelajaran berasaskan industry dan pembangunan graduan yang bukan sahaja kompeten, tetapi bersedia menghadapi realiti dunia pekerjaan,” katanya.
The BrandLaureate BestBrands Awards ini mengiktiraf jenama yang memimpin dalam strategi, inovasi dan impak industri turut menilai kepimpinan, kredibiliti dan sumbangan berterusan organisasi kepada komuniti dan sektor industri.
Tambah beliau, UPTM kekal komited memperkasa pendidikan berfokus kemahiran melalui kerjasama strategik industri, kurikulum responsif, serta pendekatan pembelajaran yang menyeimbangkan ilmu akademik, kemahiran teknikal dan nilai manusiawi.
Pencapaian ini mengukuhkan peranan UPTM sebagai antara peneraju pendidikan tinggi berfokus profesional dan kemahiran di Malaysia, selari dengan aspirasi nasional untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing di peringkat global. – MalaysiaGazette
















