KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan menetapkan Selasa ini bagi mendengar rayuan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad yang diarah membayar ganti rugi RM825,000 kerana memfitnah veteran dan pemimpin DAP yang mengaitkan mereka dengan komunis.
Mereka ialah Tan Sri Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng serta Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim.
Tarikh itu diperoleh hasil semakan terhadap laman web kehakiman yang kemudian disahkan kepada wakil media hari ini oleh peguam Datuk Sankara Nair yang mewakili ketiga-tiganya.
Sankara memaklumkan, pihaknya juga mengemukakan rayuan balas bagi menambah jumlah ganti rugi yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Pada 4 Disember 2024, Hakim Datuk Quay Chew Soon membenarkan saman ketiga-tiganya selepas berpuas hati, kenyataan Siti Mastura yang mengaitkan mereka mempunyai pertalian dengan komunis, sebagai fitnah dan tidak disokong dengan bukti.
Hakim berkenaan mendapati, wakil rakyat itu bertindak dengan niat jahat manakala pembelaannya berdasarkan komen yang adil dan perlindungan bersyarat, tidak diterima.
Justeru, mahkamah mengarahkan Siti Mastura membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada Kit Siang, Guan Eng (RM250,000) dan Teresa Kok (RM200,000), selain menetapkan RM25,000 dibayar kepada setiap plaintif sebagai kos.
Bagaimanapun, media pada 23 Januari tahun lalu melaporkan, Siti Mastura telah melunaskan sebanyak RM830,034.75 dalam bentuk ganti rugi dan kos guaman (termasuk faedah) kepada ketiga-tiga pemimpin itu, sehari sebelumnya.
Pembayaran tersebut dibuat melalui cek kepada Sankara untuk didepositkan ke dalam akaun firma guamannya yang turut disaksikan oleh peguam Yusfarizal Yusoff yang mewakili Siti Mastura dalam prosiding secara Zoom.
Media sebelum ini melaporkan ketiga-tiga plaintif memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura berhubung ucapan beliau dalam ceramah Majlis Himpunan Muslimat dan Ameerah bagi Pilihan Raya Kecil Kemaman (PRK) pada 4 November2023.
Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan secara berasingan, mereka mendakwa Ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) itu telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan parti komunis dan ketuanya, Chin Peng, serta bekas Perdana Menteri pertama Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
Mereka mendakwa defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif bahawa mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis dan menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara. – MalaysiaGazette
















