KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae atas kemenangan besar Parti Demokratik Liberal (LDP) dalam pilihan raya umum negara itu.
Menurut Perdana Menteri, mandat yang kukuh itu mencerminkan keyakinan rakyat Jepun terhadap visi Takaichi untuk pembaharuan ekonomi negara itu serta keupayaannya menyuntik semangat kepada generasi baharu pengundi.
Anwar turut mengimbau kenangan ketika Takaichi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di negara ini pada Oktober tahun lalu, hanya beberapa hari selepas beliau memegang jawatan itu.
Katanya, Takaicihi berinteraksi dengan penuh komitmen dan bersemangat terhadap isu-isu yang penting kepada kedua-dua negara iaitu daya tahan ekonomi, peralihan hijau dan keselamatan maritim.
Sehubungan itu, ujarnya, Malaysia komited untuk meneruskan momentum dalam keutamaan-keutamaan itu serta agenda penting yang lain.
“Takaichi juga terkenal dengan kenyataannya bahawa beliau akan “bekerja, bekerja, bekerja, bekerja dan bekerja” untuk Jepun.
“Saya menantikan untuk bekerjasama dengan penuh kesungguhan bersama beliau bagi membawa Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia–Jepun ke tahap yang lebih tinggi,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Media antarabangsa melaporkan LDP yang diterajui Takaichi menang besar dalam pilihan raya Jepun selepas gabungan parti tersebut meraih majoriti 352 daripada 465 kerusi yang dipertandingkan.
Penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen itu menjadi salah satu keputusan terbaik dalam sejarah pilihan raya parti di negara itu. – MalaysiaGazette
















