KUALA LUMPUR – Pengarah Media dan Komunikasi Strategi, Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) Pusat, Dr. A. Subash Chandrabose mengakui keputusannya mengarahkan DHPP membuat laporan polis berhubung Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong Pas.
Namun, ujarnya, tindakan itu perlu dilakukan bagi memastikan isu tersebut ditangani melalui saluran undang-undang, bukan emosi jalanan.
Katanya, dalam isu itu, beliau berada di persimpangan yang amat sukar antara keputusan parti, harapan para penyokong dan prinsip yang dipegangnya sejak sekian lama.
Secara politik populis, ujarnya, beliau boleh sahaja mengikut arus kemarahan atau memilih untuk berdiam diri berhubung isu itu demi mengelakkan perkara sensitif.
“Namun, saya mengambil keputusan berbeza.
“Saya menolak pendekatan Himpunan Anti Rumah Ibadat yang boleh mengheret rakyat ke arah ketegangan,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Sementara itu, Subash Chandrabose yang juga Naib Presiden Muafakat Nasional (MN) berkata, beliau turut melihat isu terbabit telah dipolitikkan.
Dalam masa sama, tegasnya, beliau juga tidak melihat manfaat jangka panjang kepada negara sekiranya kemarahan bersabit isu itu terus disemarakkan dalam kalangan rakyat.
“Apa yang saya nampak hanyalah risiko pertembungan antara kaum dan itu sesuatu yang tidak sanggup saya biarkan berlaku,” katanya.
Sementara itu, tambahnya, beliau percaya setiap isu boleh dibincangkan dengan tenang dan penyelesaian jangka panjang hanya lahir melalui hikmah, dialog dan tindakan berlandaskan undang-undang.
Dalam masa sama, beliau berjanji akan menggunakan apa jua cara untuk membanteras pencerobohan tanah bagi tujuan binaan haram, memandangkan pihaknya turut membantah sebarang perbuatan pencerobohan.
“Pada masa yang sama, saya meminta semua bertenang dan kita berunding secara berhemah dengan undang undang yang sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette
















