SHAH ALAM – Program Licensing Math Expert menyasarkan pendaftaran seramai 100,000 pelajar dalam usaha mendapat manfaat pembelajaran terus daripada pakar-pakar pendidikan di negara ini.
Salah satu penganjur yang juga Pengetua Aster Edu, Shahrin Zikri berkata, program itu merupakan hasil kerjasama empat individu berpengalaman dalam bidang pendidikan khususnya pengajaran matematik pembangunan modul pembelajaran dan pengurusan pusat tuisyen.
Katanya, gabungan kepakaran itu membolehkan satu ekosistem pembelajaran digital dibangunkan secara sistematik merangkumi kandungan akademik, kaedah pengajaran serta struktur perniagaan
“Gabungan empat pakar pendidikan tempatan memperkenalkan satu inisiatif baharu menerusi program Licensing Math Expert yang dilihat mampu membuka peluang lebih luas kepada usahawan tuisyen untuk menceburi dan mengembangkan perniagaan dalam sektor pendidikan digital.
“Program berasaskan perlesenan itu diwujudkan sebagai respons kepada perubahan landskap pendidikan yang semakin bergantung kepada teknologi digital, selain keperluan untuk menyediakan model pembelajaran yang lebih fleksibel, tersusun dan mudah diakses oleh pelajar di seluruh negara.
“Program ini direka bagi membantu pengusaha tuisyen, guru persendirian dan pendidik bebas untuk menukar perkhidmatan sedia ada kepada model tuisyen digital berlesen, tanpa perlu membina sistem dari awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Shahrin, individu lain yang terlibat adalah pakar strategi belajar, Dr. Shukri Abdullah yang bergabung bersama Maths Catch dan Fateh Intelligence dalam usaha memperkasa penguasaan subjek Matematik dalam kalangan pelajar.
Melalui program ini, pemegang lesen berpeluang menggunakan modul pembelajaran yang telah distrukturkan, sistem sokongan operasi serta panduan pemasaran digital bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

Shahrin memberitahu, pendekatan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kos permulaan, malah membantu memastikan kualiti pengajaran kekal konsisten.
Selain itu, katanya, model perlesenan turut memberi peluang kepada usahawan untuk menjana pendapatan melalui kelas dalam talian, rakaman pembelajaran, sesi bimbingan digital serta langganan berperingkat selari dengan trend pembelajaran masa kini.
“Inisiatif ini dilihat sebagai satu gerakan pendidikan berskala besar yang bukan sahaja memfokuskan kecemerlangan akademik pelajar, malah membantu melahirkan lebih ramai usahawan pendidikan digital di seluruh negara,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















