Datuk Seri Hamzah Zainudin.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencabar kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat keputusan segera sekiranya mahu memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau yang digantung keahlian Bersatu selama sepenggal itu berkata, kepimpinan Bersatu tidak lagi perlu berdrama di dalam media, sebaliknya bertindak seperti `anak jantan’ sekiranya mahu mengambil tindakan terhadap Hamzah.

“3 tahun lamanya bacul kamu menunggu nak pecat Dato’ Seri Hamzah Zainuddin!

“Nak pecat, pecat betul-betul. Jangan baling batu sembunyi tangan macam pondan!

“Kalau ini harga yang kami perlu bayar dalam melakukan amar ma’ruf nahi mungkar demi menyelamatkan rukun perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA) dalam BERSATU dan PN – Ahlan wa Sahlan, SILAKAN!!!” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut menilai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini hanya mendengar pihak-pihak yang dianggap sebagai hanya `kaki ampu, kaki bodek, kaki jilat’.

“Mana pergi Maruah? Mana ada maruah kalau dah kena pegang dengan puak Madani!” katanya.

Desas-desus Hamzah bakal dipecat daripada Bersatu semakin kuat selepas wujud gerakan dari dalam parti itu supaya Hamzah dikenakan tindakan susulan dikatakan tidak sehaluan dengan Muhyiddin.

Malah, Hamzah juga dikatakan akan menghadap Lembaga Disiplin Bersatu pada Khamis ini, sekali gus menguatkan lagi tindakan yang akan dikenakan terhadap Ahli Parlimen Larut yang juga Ketua Pembangkang berkenaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast