Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Lembaga Disiplin (LD) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi `keldai tunggangan’ untuk memburu Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Malah, bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu mendakwa, dalam perjumpaan bersamanya, fokus ahli LD adalah bagi mencari salah Hamzah.

Beliau turut mendakwa Pengerusi LD Bersatu, Datuk Mohammed Radzi Manan dengan jelas memilih dalam menjalankan siasatan apabila tidak menghiraukan aduan yang dilihat boleh melemahkan kumpulan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Wan Saiful turut berkongsi surat aduan beliau berhubung salah lalu yang didakwa dilakukan Mohamed Azmin kepada LD pada 29 September tahun lalu, namun tiada sebarang tindakan diambil, meskipun selepas empat bulan berlalu.

“Iyalah… kalau mereka ambil tindakan terhadap Azmin, nanti kekasihnya yang berkuasa mutlak itu akan marah pula.

“Untuk menutup kesalahan Azmin, saya sebagai pengadu dan saksi-saksi yang saya namakan dalam surat aduan itu pula yang mereka pecat dua minggu selepas mereka terima aduan saya.

“Itulah Lembaga Disiplin BERSATU di bawah Muhyiddin. Tidak bermaruah. Tidak beramanah.

“Itu baru satu aduan dari saya sendiri. Belum lagi kita bercakap mengenai aduan-aduan lain yang tidak dipedulikan.

“Tidak ada apa lagi yang boleh diharap dari Lembaga Disiplin BERSATU,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

SURAT aduan salah laku yang didakwa melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikemukakan Datuk Wan Saiful Wan Jan kepada Lembaga Disiplin Bersatu. – Foto FB Wan Saiful Wan Jan

Sementara itu, berdasarkan surat aduan terhadap Mohamed Azmin yang dikongsikan Wan Saiful menerusi Facebooknya, beliau mendakwa Setiausaha Agung Bersatu berkenaan melakukan ugutan terhadap Ketua Badan Pimpinan Negeri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Dakwanya, ugutan itu berbentuk sekatan sebarang bantuan kepada Bersatu Melaka dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Melaka sekiranya Abdul Rahim enggan membuat aduan disiplin berkaitan Timbalan Ketua BPN Melaka.

Selain itu, berdasarkan surat aduan tersebut, Wan Saiful turut mendakwa telah dimaklumkan oleh dua Ketua Bahagian iaitu dari Sepang dan Puchong yang mana Mohamed Azmin mengugut mereka tidak akan mendapat watikah sebagai calon pilihan raya sekiranya tidak menarik balik akuan bersumpah menolak Presiden. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast