Senator Dr. Zulkifli Hasan diiringi Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer ketika penyampaian cek cura bantuan Ihya Ramadan dan Insentif Khas Ramadan kepada asnaf pada majlis penyampaian bantuan Ihya’Ramadan dan Tauliah Amil di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 FEBRUARI 2026

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sebanyak RM19.21 juta bagi mengimarahkan aktiviti Ihya’ Ramadan tahun ini melibatkan 877 buah masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, peruntukan itu merangkumi sumbangan Ihya’ Ramadan kepada 94 buah masjid berjumlah RM2.82 juta, 146 buah surau Jumaat sebanyak RM3.65 juta serta 637 buah surau dengan peruntukan RM12.74 juta.

Menurut beliau, bantuan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid dan surau dengan sokongan sumbangan ahli kariah bagi memastikan institusi berkenaan terus ‘bercahaya’ dengan pelbagai pengisian rohani sepanjang bulan Ramadan.

Senator Dr. Zulkifli Hasan berucap pada majlis penyampaian bantuan Ihya’Ramadan dan Tauliah Amil di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 10 FEBRUARI 2026

“Adakanlah jamuan iftar dan sahur di masjid mengikut kemampuan kerana berkemungkinan terdapat ahli kariah yang terpaksa berjimat dan mengikat perut sepanjang Ramadan demi membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Masjid seharusnya menjadi tempat mereka bergantung harap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pengurusan dan Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan Masjid dan Surau serta Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah Wilayah Persekutuan, di Masjid Wilayah Persekutan di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer.

Mengulas lanjut, Zulkifli mengingatkan agar masjid dan surau diimarahkan dengan majlis ilmu seperti menjemput penceramah bertauliah yang mampu menyemai rasa cinta masyarakat kepada agama serta tidak menimbulkan kontroversi yang boleh memecah-belahkan umat Islam.

Selain itu, Zulkifli berkata, sumbangan berkenaan juga boleh dimanfaatkan untuk melantik para qurra’ dan huffaz al-Quran sebagai imam bagi mengimarahkan solat dan ibadah sepanjang Ramadan.

“Bayarlah mereka dengan kadar yang selayaknya, seiring dengan khidmat dan martabat mereka sebagai Ahlu al-Quran yang wajar dihargai,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, MAIWP meluluskan Bantuan Insentif Khas Ramadan berjumlah RM17.44 juta kepada 34,880 penerima asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi membantu meringankan beban kewangan golongan tersebut sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Bantuan khas itu merupakan inisiatif tahunan MAIWP yang bertujuan memastikan setiap keluarga asnaf dapat membuat persiapan sewajarnya serta menjalani ibadah puasa dengan lebih sempurna tanpa dibelenggu masalah kewangan.

Menurutnya lagi, bantuan berkenaan juga diharap dapat membantu golongan asnaf menyediakan keperluan makanan yang mencukupi sepanjang bulan Ramadan, sekaligus menjamin kesejahteraan keluarga penerima.

“MAIWP berharap penyaluran Bantuan Insentif Khas Ramadan ini dapat memberikan kelegaan dan senyuman kepada semua penerima, selain mencerminkan keprihatinan institusi zakat terhadap kebajikan golongan yang memerlukan,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast