Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

KUALA LUMPUR – Tiga pemimpin sayap pemuda parti komponen Pakatan Harapan (PH) Melaka mempersoalkan keikhlasan dan hala tuju politik Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Dalam satu kenyataan bersama, Ketua DAPSY Melaka, Cassel Krishnan; Ketua Angkatan Muda Keadilan Melaka, Hakimin Mokhtar dan Ketua Pemuda Amanah Melaka, Ahmad Azri Abdullah turut menyifatkan Dr Muhamad Akmal semakin tidak konsisten.

Ia selepas Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka itu lantang menolak kerjasama dengan PH yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

Tetapi dalam masa sama, kata mereka, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkenaan tidak pula kelihatan bermasalah untuk membuka ruang kepada Pas yang berada di blok pembangkang.

“Sebagai anggota pentadbiran negeri, tumpuan sepatutnya pada kestabilan, pembangunan dan kebajikan rakyat, bukan meniup sentimen yang meresahkan.

“Dalam hal ini, peribahasa “musuh dalam selimut” cukup tepat, kerana tindakan yang melemahkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan negeri sendiri akhirnya memakan diri,” katanya.

Semalam, media melaporkan kenyataan Dr Muhamad Akmal berkenaan penyatuan Melayu antara dua parti terbesar iaitu UMNO dan Pas yang perlu segera dimulakan di Melaka dan bukan sekadar strategi menjelang pilihan raya umum (PRU).

Dr Muhamad Akmal turut dipetik mendedahkan wujud keresahan dalam kalangan orang Melayu di peringkat akar umbi yang berasa kedudukan mereka tidak selamat dalam landskap politik semasa.

Sementara itu, kenyataan tersebut turut menyifatkan dakwaan orang Melayu berasa tidak selamat dengan kedudukan mereka dalam landskap politik semasa sebagai amat mengelirukan dan jelas membawa politik ketakutan.

Lebih menghairankan, katanya, Dr Muhamad Akmal sendiri merupakan Exco dalam Kerajaan Negeri Melayu yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Jika benar orang Melayu tidak selamat, maka adakah ini pengakuan bahawa kerajaan negeri hari ini di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh gagal melindungi orang Melayu?” katanya.

Dalam masa sama, mereka turut membidas Dr Muhamad Akmal berhubung keputusan meletakkan jawatan sebagai Exco negeri sebelum ini yang disifatkan hanya sekadar wayang.

“Tiada pendirian yang tegas, dan tiada langkah yang benar benar bertanggungjawab.

“Rakyat Melaka mahukan pemimpin yang bekerja dan menyatukan, bukan yang menjual ketakutan untuk keuntungan politik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Bodoh PH ni… UMNO-BN tu bukan anggota PH.. sama mcm GRS.. Kerajaan Perpaduan tu dari segi pentadbiran ja.. dari segi politik PH dan BN adalah dua entiti berbeza.. tu pun ko tak faham..

Comments are closed.