KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, mencadangkan supaya skop siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, diperluaskan serta keanggotaan jawatankuasa khas ditambah bagi memperkukuh ketelusan siasatan.
Dalam satu hantaran di media sosial, Wong merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas penubuhan jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan terhadap Azam.
Bagaimanapun, beliau mengemukakan dua cadangan utama bagi memperkukuh proses siasatan.
Menurut Wong, skop siasatan perlu diperluaskan bagi merangkumi dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’, yang disifatkannya sebagai isu lebih besar berbanding dakwaan pemilikan saham.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya keanggotaan jawatankuasa khas diperluaskan kepada lima orang dengan melibatkan seorang hakim bersara serta wakil masyarakat sivil.
“Saya mencadangkan seorang hakim bersara, dan saya ingin mencadangkan Tengku Maimun Tuan Mat, serta seorang tokoh masyarakat sivil yang dihormati,” katanya.
Bagi wakil masyarakat sivil, Wong berkata pemilihan calon wajar diserahkan kepada pertubuhan berkaitan untuk mencadangkan individu yang sesuai.
ARTIKEL BERKAITAN
Dalam pada itu, Wong dilihat seiring dengan kebimbangan yang disuarakan oleh kumpulan pesara kanan penjawat awam, G25, yang sebelum ini mempersoalkan pelantikan peguam negara sebagai ketua jawatankuasa siasatan.
G25 berpendapat langkah itu boleh menimbulkan persepsi konflik institusi dan menjejaskan keyakinan awam terhadap kebebasan siasatan.
Kumpulan itu turut mencadangkan supaya jawatankuasa dipengerusikan oleh tokoh bebas atau pesara hakim kanan, selain menggesa Ketua Pesuruhjaya SPRM bercuti sepanjang tempoh siasatan bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti.
Isu siasatan terhadap Azam Baki terus menjadi perhatian apabila pelbagai pihak mendesak supaya proses berkenaan dijalankan secara bebas, menyeluruh dan tanpa campur tangan. -MalaysiaGazette















