SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (LTAKL) membanteras penyeludupan barangan dan dadah bernilai lebih RM2.5 juta.
Pengarahnya, Zulkifli Muhammad berkata cubaan menyeludup tiga bungkusan bunga ganja dan kokain bernilai lebih RM1.4 juta seberat 16 kilogram (kg) ke negara Eropah antara yang dibanteras pihaknya menerusi operasi berasingan pada 5 dan 28 Januari lalu.
“Pada 5 Januari dua bungkusan (bunga ganja) disita kemudian sebungkus (kokain) disita pada tarikh seterusnya dengan nilai rampasan RM11,400,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, pengeksport yang sehingga kini masih belum dikenal pasti menggunakan perkhidmatan mel dan kurier dengan mengisytiharkannya sebagai hadiah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Selain itu, katanya, enam kontena mengandungi besi pelbagai saiz seberat 145,281 dengan jumlah rampasan dan duti sebanyak RM883,301.15 di Pelabuhan Klang.
“Pembongkaran awal yang dilakukan menemui besi pelbagai saiz yang mana dagangan tersebut memerlukan permit import daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk dibawa masuk ke negara ini,” katanya.
Terdahulu menurut Zulkifli, penemuan kontena dibuat menerusi serbuan pasukan operasi Bahagian Penguatkuasaan LTAKL dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Pasukan Tempur Operasi Kastam (COBRA) pada 19 Januari lalu.
Ujarnya, kontena berisi besi itu tidak diisytihar secara jujur.
Dalam pada itu beliau berkata 21 unit Kenderaan Elektrik (EV) tiga roda dan e-Bike dirampas di tiga premis berasingan di Sentul dan Petaling Jaya.
Ujarnya, ia dianggarkan nilai rampasan dan duti cukai mencecah RM205,129.
“Penjualan dibuat secara dalam talian serta menggunakan perkhidmatan penghantaran secara pintu ke pintu kepada pembeli bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” tambahnya sambil menegaskan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette
















