Azizi Safar

KUALA LUMPUR – Episod pembubaran jawatan kuasa; peletakan jawatan beramai-ramai kepimpinan dan pengumuman keluar parti oleh ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh dianggap sekadar perkara biasa dalam politik.

Sebaliknya, pemerhati politik, Azizi Safar berkata, setiap perkara itu membawa implikasi negatif terhadap parti, bukan hanya pada struktur organisasi, tetapi lebih kritikal kepada keyakinan akar umbi dan persepsi rakyat.

Menurut beliau, apabila jawatan kuasa dibubarkan, rakyat jarang melihatnya sebagai langkah teknikal, sebaliknya isyarat yang difahami adalah hampir selalu sama iaitu ada yang tidak kena di dalam Bersatu.

“Apabila kepimpinan meletak jawatan secara bersama, persoalan mula timbul. Stabilkah parti? Jelaskah hala tuju? Kukuhkah kesatuan?

“Dan apabila ahli-ahli keluar secara terbuka, tafsiran menjadi lebih keras.

“Rakyat melihatnya sebagai tanda bahawa masalah dalaman bukan lagi bisikan, tetapi realiti,” katanya menerusi laman sosial Facebook belilau hari ini.

Tambah Azizi, krisis dalaman yang tidak diurus dengan cermat juga akan memberi kesan berganda termasuk moral ahli merosot.

Ujarnya, ahli-ahli yang setia mula berasa ragu, manakala mereka yang bekerja pula mula berasa letih, dengan politik dalaman yang berpanjangan perlahan-lahan memakan semangat perjuangan.

“Dalam era media sosial, tiada apa yang benar-benar tertutup. Setiap konflik menjadi tontonan. Setiap pergeseran menjadi naratif.

“Persepsi terbentuk pantas, dan persepsi sering lebih berpengaruh daripada fakta,” katanya.

Lebih parah, tambah Azizi, fokus perjuangan juga terganggu dengan parti yang sepatutnya memperjuangkan isu rakyat akhirnya tenggelam dalam pertikaian sendiri.

“Cakaplah apa pun, apabila kepimpinan letak jawatan beramai-ramai, imej parti tidak dapat dielakkan daripada terkesan.

“Perletakan jawatan secara kolektif bukan perkara rutin.

“Di mata umum, ia hampir selalu dibaca sebagai isyarat wujudnya pergeseran besar, retaknya kepercayaan, atau masalah dalaman yang gagal diurus dengan baik,” katanya.

Menurutnya, dalam politik, persepsi sering mendahului penjelasan yang mana rakyat mungkin tidak mengetahui cerita penuh, tetapi pantas membaca isyarat.

Jelasnya, polemik dalaman itu boleh sahaja disebut proses biasa; dinamika organisasi atau pembersihan yang akan mengukuhkan parti.

Namun, di mata rakyat, ujar beliau, gambaran yang tinggal hanyalah satu iaitu ketidakstabilan dan ketidakpercayaan.

“Imej bukan soal kosmetik dalam politik. Ia berkait langsung dengan keyakinan.

“Parti yang dilihat tidak stabil sukar meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu mentadbir dengan stabil.

“Parti yang dilihat bergolak sukar meyakinkan rakyat bahawa mereka mampu menyelesaikan masalah negara,” katanya.

Ini kerana, tambah Azizi, pada akhirnya politik bukan sekadar tentang siapa memegang jawatan, tetapi tentang siapa yang memegang kepercayaan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast