Khairy Jamaluddin.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai peluang cerah untuk menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum akan datang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, ia berdasarkan situasi politik semasa yang mana ketika kebanyakan parti politik dominan sedang berdepan pergeseran dalaman, UMNO sebaliknya dilihat kekal stabil.

Menurutnya, perkara itu memberi gambaran kepada rakyat bahawa Ahmad Zahid mampu menguruskan perbezaan dalaman UMNO dengan baik.

Malah, ujarnya, Ahmad Zahid juga berjaya mengendalikan perbezaan pendirian yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini tanpa menyebabkan berlakunya perpecahan di dalam UMNO.

“Beliau berjaya menguruskan perbezaan di dalam UMNO itu dengan sangat baik.

“Dan daripada semua parti-parti politik lain juga, nampak tidak ada apa-apa masalah dalaman dalam UMNO.

“Malah, kalau kita lihat dalam Pas pun sekarang wujud sedikit ketegangan antara proksi ulama dan bukan ulama, tetapi UMNO nampak stabil,” katanya menerusi rakaman audio siar Keluar Sekejap (KS) bersama Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, Ahmad Zahid juga dilihat mempunyai peluang menjadi Perdana Menteri seterusnya kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk berkenaan tidak meletakkan dirinya dalam keadaan untuk diserang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ujarnya, Ahmad Zahid dilihat seolah-olah akan terus bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan (PH) sepanjang PRU-16, sehinggalah pendirian sebenar dibuat selepas keputusan PRU-16 diumumkan.

Sementara itu, Khairy turut menilai UMNO akan memperoleh momentum yang besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sekiranya ia tidak dilangsungkan serentak dengan pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Malah, beliau turut menjangkakan UMNO akan menang mutlak pada PRN Melaka dan Johor.

“Bukan saya kata kemenangan mutlak di Melaka dan Johor itu akan diterjemahkan kemenangan mutlak di PRU-16.

“Saya rasa UMNO masih lagi jauh di mata persepsi rakyat untuk mendapat kemenangan mutlak, tetapi saya rasa keputusannya akan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast