KUALA LANGAT – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membincangkan pelbagai isu dua hala antara Malaysia dan Singapura dalam pertemuan tidak rasmi dengan Perdana Menteri, Lawrence Wong, hari ini.
Beliau juga ada membincangkan beberapa projek yang mempunyai kepentingan antara dua negara dalam pertemuan tersebut.
“Sebagai sahabat, ambil kesempatan untuk berbincang dengan kedua-dua negara dan kemajuan beberapa projek yang telah kita putuskan bersama.
“Soal dua hala, semua isu-isu yang berlaku yang kita rasa yang patut kita selesaikan, kita selesaikan.
“Saya tentu hargai kerana ini menunjukkan jalinan persahabatan di antara dua negara itu baik,” katanya ketika ditanya mengenai pertemuan tersebut.

Terdahulu beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting, di sini.
Terdahulu, Kementerian Luar dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dua hala serta isu-isu berkepentingan bersama, termasuk hasil Pemukiman Pemimpin yang berlangsung pada 4 Disember 2025.
Perdana Menteri juga berkata, pelawaan kunjungan tidak rasmi itu dibuat oleh beliau sendiri sebelum Ramadan lagi.
“Jadi kena bulan puasa, saya ajak dia buka puasa sama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















