Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika ditemui wartawan selepas menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sri Cheeding, Banting. Foto SADIQ SANI, 20 FEBRUARI 2026

KUALA LANGAT – Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun atau dua penggal bermula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

Beliau berkata, pindaan tersebut tidak hanya dibuat untuk Perdana Menteri akan datang, sebaliknya ia mesti bermula dengan pentadbiran beliau sendiri.

“Dia bermula daripada saya. Jangan ingat saya buat undang-undang untuk orang lain.

“Undang-undang itu mesti terpakai kepada saya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Seri Cheeding, Banting, di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra ketika hadir menunaikan solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Sri Cheeding, Banting. Foto SADIQ SANI, 20 FEBRUARI 2026

Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri akan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, Isnin ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, bacaan kali kedua RUU Rang Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri pula dijadualkan pada 3 Mac di mana Anwar dijangka membentangkannya sendiri.

Anwar juga memberi jaminan, pindaan RuU Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri akan disegera dan diluluskan pada sidang Parlimen akan datang.

“Itulah pandangan kita terhadap segerakan dan kalau ada konsensus, majoriti ahli parlimen, kita boleh luluskan dalam sidang akan datang,” katanya.

Katanya lagi, tempoh 10 perkhidmatan bagi seseorang Perdana Menteri sudah cukup memadai.

“Sesiapa yang mahu berkhidmat, beri ikhlas kepada negara, tempoh 10 tahun itu cukup memadai untuk dilakukan sebaiknya.

“Selepas itu sepatutnya disedia untuk melepaskan, untuk rakan-rakan yang lain meneruskan khidmat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast